KYLE Rittenhouse, remaja Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati dua lelaki ketika protes dan rusuhan terhadap keganasan polis di Wisconsin tahun lalu, dibebaskan daripada semua pertuduhan semalam, selepas selesai perbicaraan berprofil tinggi itu.
Juri mendapati Rittenhouse, 18, tidak bersalah atas tuduhan kecuaian dan membunuh dengan niat selain pertuduhan lain susulan insiden tembakan pada Ogos 2020 di Kenosha, Wisconsin.
Rittenhouse, yang mendakwa dirinya bertindak bagi mempertahankan diri sendiri, menangis ketika keputusan itu dibacakan, terduduk di kerusinya dan dipeluk peguamnya sebelum bergegeas keluar dari mahkamah.
Presiden Joe Biden memberi amaran terhadap keganasan susulan keputusan perbicaraan yang diikuti rapat orang ramai itu.
“Walaupun keputusan di Kenosha akan menyebabkan ramai rakyat AS berasa marah dan bimbang, termasuk saya juga, kita perlu terima keputusan juri,” kata Biden dalam satu kenyataan.
“Saya menggesa semua orang untuk meluahkan pandangan secara aman dan konsisten dengan kedaulatan undang-undang.”
Terdengar sorakan dan tepukan daripada penyokong Rittenhouse di luar mahkamah Kenosha selepas keputusan dibacakan.
Beberapa penunjuk perasaan melakukan kawat kaki sambil mengetuk dram dan melaungkan “Bersalah, bersalah”.
Rittenhouse dalam keterangannya sepanjang dua minggu perbicaraan itu berkata dia menembak mati dua lelaki dan menyebabkan seorang yang lain cedera menggunakan senapang semi automatik AR-15 selepas diserang.
Pendakwa menolak dakwaan pertahankan diri, berkata Rittenhouse ketika itu berusia 17 tahun yang memulakan provokasi ketika rusuhan itu.
Rittenhouse dikenakan lima pertuduhan termasuk pembunuhan secara cuai, cubaan membunuh dengan niat dan membahayakan keselamatan.
Membunuh dengan niat membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Juri berbincang selama 26 jam sepanjang empat hari sebelum memberikan keputusan sebulat suara iaitu tidak bersalah bagi semua pertuduhan. – AFP, 20 November, 2021.
Komen