Keluarga Malaysia: Perlu membantu, bukan membantut


SEJAK jenama Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh kerajaan baharu, saya skeptikal dengan apa yang cuba dibawa oleh mereka. 

Komposisi parti politik kerajaan hari ini ialah Umno (parti berasaskan Melayu), Bersatu (ingin menggantikan Umno), dan PAS (parti yang mendakwa mereka berasaskan Islam). 

Mungkinkah parti “politik identiti” mampu untuk memperkenalkan dasar-dasar yang lebih inklusif dan adil kepada masyarakat yang berbilang bangsa? 

Saya sudah kerap kali mengatakan dasar-dasar negara yang dibina berasaskan kaum, akan gagal. Mengkelaskan rakyat dari sudut pandang kaum pada Belanjawan 2021 sudah cukup menggambarkan ia bukan belanjawan yang baik. 

Kita patut fokus kepada pengkelasan dasar mengikut kelas sosial rakyat – ia lebih adil dan akan memastikan mereka yang memerlukan akan dibantu. 

Saya mengerti semua ini dilakukan untuk survival politik kerajaan semasa, tapi setidaknya jika mereka benar-benar berpegang teguh kepada “keluarga Malaysia”, inilah yang wajib dilakukan. 

Belajar dari kegagalan

Semalam saya membaca laporan akhbar yang mengatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ingin meneliti pengurusan pasar raya, terutamanya pasar raya yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkait kerajaan (GLC).

Perdana menteri mengatakan mereka ingin memastikan pengurusan pasar raya di Malaysia diselia oleh syarikat-syarikat tempatan dan peniaga-peniaga Melayu/Bumiputera dibenarkan berniaga. 

Beliau turut menambah kadar keterlibatan masyarakat Melayu/Bumiputera di pasar raya yang menjadi tumpuan pelancong adalah rendah. 

Apabila saya membaca laporan akhbar ini, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya: Apa cerita dengan Mara Digital Mall yang satu ketika dahulu katanya mahu menggantikan Low Yat? Kali terakhir saya ke Mara Digital Mall, pasar raya itu kelihatan begitu suram.

Rakyat Malaysia hari ini tidak lagi fokus kepada bangsa atau agama si peniaga, tetapi mereka melihat kepada kualiti peniaga. 

Saya dapat menghidu dasar-dasar populis seperti ini hanya  akan memberi keuntungan kepada segelintir masyarakat Melayu/Bumiputera sahaja – terutamanya mereka yang terlibat dengan perniagaan dan sudah tergolong dalam kumpulan elit Melayu. 

Lebih malang, jika dasar ini gagal – seperti gagalnya Mara Digital Mall – kita akan bermula dari “kosong” semula. 

Mengapa Mara Digital Mall gagal? Kerana ia pasar raya berasaskan kaum, kualiti perkhidmatannya tidak setanding pasar raya lain, dan harganya tidak kompetitif. 

Seandainya kita benar-benar ingin membantu peniaga-peniaga Melayu/Bumiputera, terutamanya dalam industri kecil sederhana (IKS), kita perlu melabur untuk meningkatkan kemahiran dan akses kepada pengumpulan modal. 

Kita perlu pastikan kumpulan peniaga ini benar-benar sedia untuk bersaing dengan keadaan pasaran yang kompetitif. Menggunakan wang untuk dasar-dasar “kuota” seperti ini hanya akan merugikan wang rakyat.

Pendigitalan perniagaan

Dua hari lepas Isetan mengumumkan mereka akan menutup premis di One Utama selepas 10 tahun beroperasi. Dikhabarkan mereka akan mula menumpukan perniagaan kepada pembelian dalam talian, sesuatu yang perlu dilakukan oleh hampir semua perniagaan jika mereka ingin “survive”. 

Persoalan penting kepada keluarga Malaysia, sejauh mana kita menyediakan perniagaan rakyat ke arah pendigitalan? 

Pandemik telah memaksa peniaga untuk mendigitalkan perniagaan mereka. Malangnya usaha kerajaan ke arah hal ini masih kurang. Berbanding menggunakan wang untuk menyediakan kuota Melayu/Bumiputera di pasar raya terkemuka, lebih baik wang itu dibelanjakan untuk melatih peniaga-peniaga dalam perniagaan digital. 

Jika suatu hari nanti hampir semua perniagaan berada dalam talian, bagaimana kerajaan ingin sediakan ‘kuota’ Melayu/Bumiputera di Internet? Adakah mereka akan menyediakan platform e-commerce hanya untuk Melayu/Bumiputera? 

Lupakah anda kempen Buy Muslim First yang dahulunya hangat sudah semakin surut? 

Dasar dan polisi berasaskan kaum dan agama seperti ini sukar untuk bertahan lama. Pada akhirnya rakyat akan kembali kepada kualiti dan harga yang kompetitif. 

Nasihat saya, sudah-sudahlah bermain isu seperti ini, ia sudah dilakukan dengan cukup lama di Malaysia. Kita perlukan dasar-dasar yang inklusif dan benar-benar membantu rakyat Malaysia – yang sudah tentunya bukan berasaskan kaum atau agama. – 20 November, 2021.

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen