Austria laksanakan perintah berkurung, wajibkan vaksin Covid-19


Perintah berkurung akan dikuatkuasakan semula di Austria dengan vaksin Covid-19 diwajibkan bermula Februari tahun depan. – Gambar EPA, 20 November, 2021.

AUSTRIA menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama mengumumkan akan mewajibkan vaksinasi Covid-19 dan menguatkuasakan perintah berkurung separa, dalam usaha berdepan dengan jangkitan baharu.

Perintah berkurung yang akan bermula Isnin, menguatkuasakan sekatan paling ketat pernah diperkenalkan di Eropah sejak beberapa minggu terakhir ini ketika lonjakan kes berlaku di seluruh benua, ditambah lagi dengan keengganan untuk vaksin.

Rakyat Austria tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk ke tempat kerja, membeli barangan penting di kedai dan bersenam. Sekatan itu akan berlangsung 20 hari dengan tempoh penilaian selepas 10 hari, kata Canselor Alexander Schallenberg.

Sekolah akan kekal dibuka, namun ibu bapa diminta tidak menghantar anak ke sekolah jika boleh. Bekerja dari rumah disyorkan.

Vaksinasi Covid-19 di negara Alpine itu akan diwajibkan bermula 1 Februari tahun depan, kata Schallenberg. Setakat ini, hanya Vatican di Eropah yang mewajibkan vaksinasi.

Pertubuhan Kesihatan Dunia tetap dengan dasar yang mahukan vaksin diterima baik kerana manfaat dan keselamatan, bukannya menerusi penguatkuasaan wajib vaksin.

Tetapi Schallenberg berkata:”Walaupun sudah berbulan-bulan memujuk, kami masih tidak dapat meyakinkan cukup ramai orang untuk mengambil vaksin, sedangkan vaksinasi adalah tiket keluar daripada pandemik ini.”

Austria mengenakan sekatan pergerakan kepada mereka yang tidak divaksin atau yang baru pulih daripada virus, mengarahkan mereka duduk di rumah sejak Isnin lalu, dan ia adalah negara EU pertama berbuat demikian.

Tetapi jangkitan terus meningkat. Pada Jumaat, angka baharu direkodkan dengan lebih 15,800 kes jangkitan dilaporkan di negara itu yang mempunyai populasi sembilan juta orang. – AFP, 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen