Kabinet setuju dengan permohonan Najib, kata menteri


Raevathi Supramaniam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kabinet pada dasarnya bersetuju menganugerahkan Najib Razak sebidang tanah bagi membina rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2021.

KABINET pada dasarnya bersetuju menganugerahkan Najib Razak sebidang tanah bagi membina rumah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Beliau berkata ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta 237 Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

“Secara dasarnya kabinet bersetuju memberikan kepada bekas perdana menteri atas alasan haknya di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun saya mesti menegaskan keputusan ini tidak muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut serta kelulusan akhir oleh kerajaan,” katanya. 

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di Kuala Lumpur.

Tengku Zafrul bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak.

Berita itu mengejutkan rakyat Malaysia yang mengkritik Najib kerana berani membuat permintaan sedemikian selepas ahli Parlimen Pekan itu disabitkan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International.

Dalam sidang media awal hari ini ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau memutuskan untuk menarik semula permintaannya.

Di bawah undang-undang diperkenalkan pada awal 80-an, Najib sebagai bekas perdana menteri berhak memilih satu daripada tiga jenis elaun perumahan sebagai satu bentuk ganjaran daripada kerajaan.

Kemudahan itu, seperti yang disenaraikan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan), boleh dalam bentuk rumah kerajaan yang lengkap dengan semua kemudahan, elaun bulanan RM10,000 jika beliau memilih untuk tinggal di rumah sendiri, atau pemilikan sebuah rumah dihadiahkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata apabila diberikan tiga pilihan itu, beliau tidak tahu nilai tanah yang dipilihnya.

“Ada pilihan lain, tiga tapak lain diberikan. Jadi saya memilih tapak itu kerana ia ditawarkan kepada saya oleh Jabatan Perdana Menteri.

“Saya tidak mengetahui nilainya. Saya tidak membuat penilaian.

“Saya mula mengetahui (nilai) selepas ia dihebahkan secara meluas. Saya tidak terlibat dalam penilaian dan saya tidak pernah membuat keputusan tentang penilaian yang sepatutnya. Saya tidak terlibat,” katanya.

Walaupun Najib mengumumkan beliau akan menarik semula permohonannya, Wan Junaidi berkata kabinet memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti cadangan itu.

“Peranan jawatankuasa adalah untuk menyemak garis panduan yang dicadangkan untuk memenuhi permintaan itu termasuk kadar, syarat dan had maksimum atau kuantum untuk penyediaan tanah serta rumah kediaman di bawah Jadual Saraan Bekas Perdana Menteri untuk pelaksanaan masa depan,” katanya. – 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen