4 lelaki menyamar polis, samun warga Bangladesh ditahan 


POLIS menahan empat lelaki semalam selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun tiga lelaki warganegara Bangladesh di Kompleks Bukit Gebung, dekat George Town Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar Bayan Baru dan Kampung Baru, Air Itam.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada tiga warga asing berusia lingkungan 20-an berkenaan yang mendakwa disamun empat lelaki mengaku polis pada pukul 4.30 pagi.

“Menurut kesemua mangsa, empat lelaki yang memakai pakaian biasa itu telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta pasport mereka kononnya untuk diperiksa sebelum menyamun satu telefon bimbit jenis Samsung milik seorang mangsa.

“Suspek turut menyamun wang tunai RM170 daripada tiga lelaki tersebut sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Rizal berkata kesemua lelaki itu kini direman lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam. – Bernama, 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen