SALINAN asal manuskrip Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) yang amat jarang ditemui terjual pada Khamis dengan harga AS$43 juta, sekali gus mencatat rekod dunia bagi lelongan dokumen bersejarah.
Ia menyaksikan pemenang bidaan itu mengalah sekumpulan pelabur matawang kripto yang berjaya mengumpulkan AS$40 juta.
Rumah lelong Sotheby’s, yang mengadakan jualan berkata ia adalah satu daripada hanya 13 salinan dokumen yang diketahui, ditandatangani pada 17 September 1787 di Dewan Kemerdekaan Philadelphia oleh bapa pengasas Amerika termasuk George Washington, Benjamin Franklin dan James Madison.
Pembida yang menang tidak dapat dikenal pasti.
Selby Kiffer, pakar manuskrip dan buku purba di Sotheby’s, berkata pada September dokumen ini mungkin sebahagian daripada edisi 500 yang dicetak sehari sebelum majlis menandatanganinya, dan kemungkinan siap dicetak pada petang 16 September 1787.
Manuskrip itu disahkan oleh setiap negeri, bermula dengan Delaware pada Disember 1787 dan berakhir dengan Rhode Island pada Mei 1790.
Ia secara rasmi menjadi piagam asas AS pada 21 Jun 1788, apabila New Hampshire menjadi negeri kesembilan daripada 13 yang meratifikasinya. – AFP, 19 November, 2021.
Komen