DUA pendatang maut ketika dalam perjalanan menaiki bot ke Kepulauan Canary, Sepanyol yang turut membawa lebih 30 penumpang lain, lapor AFP.
Ia merupakan insiden maut terbaru membabitkan lintasan berbahaya berkenaan.
Kapal yang hanyut ditarik ke pelabuhan Arguineguin di Pulau Gran Canaria, di mana wartawan AFP melihat penyelamat mengeluarkan dua mayat dari bot.
Sebelum ini perkhidmatan kecemasan 11 Canaries menerusi Twitter berkata dua pendatang terpaksa dirawat di laut apabila berdepan masalah kesihatan serius dengan seorang mengalami hipotermia dan dehidrasi manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada tangan.
Tidak jelas dari mana bot itu bertolak tetapi Sepanyol merupakan salah satu pintu masuk utama bagi pendatang yang berlepas dari Afrika Utara untuk berhijrah ke Eropah.
Bilangan mereka yang cuba menyeberangi laut ke Kepulauan Canary, sebuah kepulauan di Atlantik di luar pantai barat laut Afrika meningkat secara mendadak sejak akhir 2019 selepas pemeriksaan di laluan Mediterranean diperketatkan.
Kementerian dalam negeri Sepanyol berkata 16,827 pendatang tiba di sana melalui laut antara Januari dan Oktober 2021 – meningkat 44 peratus daripada tempoh sama pada 2020.
Tetapi laluan ke Kepulauan Canary amat berbahaya di mana sejak awal tahun ini kira-kira 900 orang sudah mati ketika cuba menyeberanginya, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Pendatang. – AFP, 19 November, 2021.
Komen