INDIA akan memansuhkan tiga pindaan undang-undang pertanian yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran sejak hampir setahun oleh kumpulan petani negara itu.
Perdana Menteri India Norendra Modi mengumumkan keputusan tidak dijangka itu hari ini selepas sekian lama berkeras mahu meneruskannya.
“Kami memutuskan untuk memansuhkan ketiga-tiga pindaan undang-undang pertanian dan akan memulakan proses perlembagaan untuk melakukannya apabila sesi Parlimen bermula akhir bulan ini.
“Saya merayu kepada semua petani yang menyertai tunjuk perasaan selama ini kembalilah ke rumah masing-masing kepada orang tersayang dan keluarga, kembali usahakan tanah anda.
“Kita mulakan buku baharu dan maju ke depan,” katanya dalam ucapan sempena Guru Purab, ulang tahun kelahiran Guru Nanak, pengasas agama Sikh.
Ribuan petani yang menyertai tunjuk perasaan itu adalah beragama Sikh dari negeri Punjab di utara, di mana mereka berkhemah di pinggir New Delhi sejak November 2020.
Tunjuk perasaan itu memberi cabaran paling hebat kepada kerajaan pimpinan Modi.
Kira-kira dua pertiga daripada 1.3 bilion penduduk India hidup sebagai petani dan sektor itu sering menjadi mangsa percaturan politik.
Sebelum ini, kerajaan Modi mendakwa pindaan undang-undang yang diusulkan itu akan membantu sektor pertanian yang disifatkan kurang cekap.
Bagaimanapun, petani bimbang pindaan itu akan menjadikan mereka mangsa penindasan dan manipulasi syarikat korporat.
Tunjuk perasaan menjadi ganas Januari lalu apabila perarakan traktor di New Delhi gagal dikawal, menyebabkan seorang petani terbunuh dan ratusan anggota polis cedera. – AFP, 19 November, 2021.
Komen