FILIPINA bakal mengalu-alukan kembali pelancong asing tidak lama lagi, kata kerajaan pada Jumaat, ketika ia bersedia membuka semula kepada pengembara yang sudah vaksin.
Rancangan itersebuti diumumkan selepas 20 bulan negara itu tutup pintu sempadannya bagi membendung Covid-19.
Kebanyakan pengendali pelancongan di negara kepulauan yang terkenal dengan pantai dan kawasan menyelam itu telah mengalami kerugian besar sejak pandemik melanda.
Pasukan petugas Covid-19 kerajaan secara dasarnya terlah meluluskan permohonan jabatan pelancongan bagi membenarkan kemasukan pelancong yang sudah divaksin dari negara yang mempunyai kadar jangkitan rendah, kata Setiausaha Pelancongan Berna Puyat.
Sempadan akan dibuka semula “tidak lama lagi”, menurut kenyataan itu, tanpa memberikan tarikh.
“Membenarkan pelancong dari negara hijau atau wilayah yang majoriti penduduknya sudah divaksin dan dengan kadar jangkitan rendah akan sangat membantu dalam usaha pemulihan kita,” kata Puyat.
“Langkah ini juga akan menolong mengukuhkan keyakinan pengguna, yang merupakan penyumbang besar kepada keluaran dalam negara kasar kita,” tambahnya.
Lebih 40 negara dan wilayah kini diklasifikasikan sebagai “hijau”—berisiko rendah dan dikecualikan daripada keperluan kuarantin—termasuk China, Indonesia dan Zimbabwe.
Pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi negara Asia Tenggara itu, menyumbang hampir 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2019, apabila ia menarik lebih lapan juta pengunjung, menurut data rasmi.
Kira-kira satu pertiga daripada 110 juta orang di Filipina telah diberi vaksin sepenuhnya.
Filipina merekodkan lebih 2.8 juta jangkitan sejak permulaan pandemik, dengan sekitar 45,000 kematian dilaporkan. – AFP, 19 November, 2021.
Komen