Gerhana bulan separa paling lama sejak 1440


Fenomena gerhana bulan separa dapat disaksikan di seluruh Amerika Utara, sebahagian Amerika Selatan, Polynesia, Australia dan timur laut Asia hari ini. – Gambar AFP, 19 November, 2021.

GERHANA bulan separa terpanjang, seperti yang berlaku hampir 600 tahun lalu dengan bulan seolah bermandikan cahaya merah, mula kelihatan semalam dan hari ini.

Fenomena itu menjadikan bulan hampir berbayang sepenuhnya ketika ia bergerak di belakang bumi, menjadikan 99% permukaannya berwarna merah.

Keajaiban itu dapat disaksikan di seluruh Amerika Utara, sebahagian Amerika Selatan, Polynesia, Australia dan timur laut Asia.

Saintis berkata orang ramai di bahagian itu akan menikmati pemandangan bebas awan, bulan sedikit malap mulai jam 6 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) hari ini ketika ia memasuki penumbra bumi iaitu bayang luar.

Sejam kemudian, ia akan kelihatan seperti terdapat gigitan besar ketika ia mula masuk ke umbra atau bayang penuh.

Menjelang 4.45 petang waktu Malaysia bulan akan kelihatan merah dengan warna paling terang dapat dilihat pada gerhana puncak 18 minit kemudian.

Keseluruhan proses itu kemudiannya menjadi terbalik apabila bulan meluncur keluar dari bayang-bayang dan meneruskan perjalanannya yang tidak berkesudahan mengelilingi planet.

Fenomena merah itu dikenali sebagai “Penyebaran Rayleigh” iaitu gelombang cahaya biru yang lebih pendek dari matahari diserakkan oleh zarah di atmosfera bumi.

Gelombang cahaya merah lebih panjang dapat melalui zarah berkenaan dengan mudah.

“Semakin banyak habuk atau awan di atmosfera bumi semasa gerhana, semakin bulan akan muncul berwarna merah seolah-olah semua cahaya matahari yang terbit dan terbenam di dunia dipancarkan ke bulan,” kata laman sesawang NASA.

Proses gerhana bermula dari saat bulan memasuki bayang-bayang bumi hingga berakhir akan mengambil masa lebih tiga jam 28 minit.

Menurut NASA, satu lagi fenomena seumpamanya iaitu gerhana bulan penuh yang lebih lama, dijangka berlaku pada 8 November, 2022. – AFP, 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen