Sokongan Khalil Yaakob beri kelebihan pada Pakatan


BANYAK ramalan dan jangkaan dibuat oleh ahli politik, akademik mahupun rakyat biasa ke atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung esok.

Paling menarik tentulah keyakinan pihak Pakatan Harapan (PH) apabila mantan Yang Dipertua Negeri, Mohd Khalil Yaakob, menyertai kempen Parti Amanah Negara (Amanah).

Lebih unik, Mohd Khalil secara terbuka berkempen memuji mantan dan calon ketua menteri Melaka dari PH, Adly Zahari, yang disifatkan sebagai intelektual, pragmatis dan praktikal.

Sokongan terbuka dari seorang tokoh yang berpengaruh besar di Melaka, yang sebelum menjadi Yang di-Pertua Negeri merupakan pemimpin tinggi Umno, pastilah mengejutkan.

Tidak dinafikan bahawa Adly sewaktu menjadi ketua menteri Melaka dahulu mempunyai reputasi yang baik serta tidak tercalar dengan apa-apa kontroversi yang boleh dipertikaikan.

Masa sama, kedudukan Adly juga sedang dibayangi oleh dua calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu Idris Harun dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Idris selaku mantan ketua mnteri dari Barisan Nasional (BN) pra-2018 sudah dipersetujui sebagai Ketua Menteri dari PH setelah kerajaan Sulaiman Md Ali tumbang.

Begitupun, apabila Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam bersetuju dengan permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) maka ia tidak menjadi kenyataan.

Shamsul Iskandar pula adalah ahli Parlimen Hang Tuah Jaya setelah menjadi giant killer yang berjaya menamatkan kerjaya politik Mohd Ali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Beliau juga diberitakan calon ketua menteri dari PH dalam PRU 14 tetapi ia tidak kesampaian apabila tumpas tipis dengan majoriti 536 undi di tangan calon BN, Ghazale Muhamad, di Rim.

Pengaruh beliau selaku ketua penerangan PKR dan mantan timbalan menteri industri utama menyebabkan nama Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik diketepikan sebagai calon.

Bila dua mantan ketua menteri bergabung di dalam satu barisan, ditambah pula dengan sokongan mantan yang dipertua negeri, logiknya kelebihan pasti menyebelahi barisan itu.

Ini kerana menjadi pengetahuan umum bahawa pengundi Cina dan India masih lagi padu di belakang Parti Tindakan Demokratik (DAP) walaupun tahap kepaduannya sudah berkurang.

Ditambah pula dengan pertembungan sesama sendiri BN dan Perikatan Nasional yang menjadikan pemenang bagi kerusi-kerusi pengundi majoriti Melayu menjadi tidak menentu.

Secara tradisinya Melaka pra 2018 merupakan kubu kuat Umno, komponen utama BN, tetapi Melaka pasca 2018 sudah menjadi terlalu berbeza disebabkan kemunculan beberapa faktor.

Dalam PRU 14, seperti di negeri-negeri lain hampir di seluruh pelosok negara, isu skandal 1MDB dikenalpasti menjadi faktor utama yang merobek teruk keyakinan rakyat kepada BN.

Ajaibnya, dengan pelaku utama skandal 1MDB telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah beliau terus juga diberikan peranan utama untuk menarik sokongan kepada BN.

Paling mutakhir, buku sensasi Nazir Razak bertajuk “What’s In A Name” memuatkan lima bab khusus yang menceritakan secara terperinci bagaimana skandal 1MDB berlaku.

Di dalamnya, Nazir mencatatkan bagaimana sejak 2009 lagi beliau telah menemui banyak perkara tidak betul di dalam perjalanan 1MDB dan bagaimana beliau mempersoalkannya.

Malangnya, setiap persoalan tidak pernah berjawab atau diambil tindakan sehingga mendorong beliau mengadu hal kepada mantan Perdana Menteri, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

Dinyatakan secara terus-terang di dalamnya betapa projek 1MDB adalah penipuan kewangan yang disertakan dengan perincian bagaimana perkara ini berlaku.

Begitupun, perkara yang dibangkitkan dalam buku ini yang mendapat liputan meluas media massa sehingga kini masih belum mampu dijawab oleh mana-mana pihak yang terbabit.

Ditambah pula liputan meluas media massa ke atas perbicaraan mahkamah mengenai skandal 1MDB yang menjadikan komitmen Umno terhadap urustadbir baik sentiasa dipersoalkan.

Lebih teruk lagi adalah imej presiden Umno yang dibayangi masalah sama dengan liputan meluas media massa ke atas perbicaraan mahkamah mengenai pelbagai dakwaan rasuah beliau.

Dalam konteks Umno Melaka pula, pelbagai cerita kurang enak membabitkan Pengerusi dan pemimpin Umno Melaka lain turut memberikan persepsi yang kurang baik ke atas parti itu.

Lebih menjejaskan imej Umno adalah pendedahan Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Undangan Negeri Terengganu mengenai punca kegagalan perundingan BN-PN.

Kata naib presiden PAS merangkap menteri besar Terengganu itu, di peringkat awalnya perbincangan Umno, Bersatu dan PAS untuk menghadapi PRN Melaka berjalan baik.

Setelah dua kali bertemu, iaitu pada 27 dan 29 Oktober, beberapa persetujuan telah dicapai dan cadangan preelection agreement dirangka untuk kerjasama berlaku untuk PRN Melaka.

Begitupun, pada 3 November, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan bahawa ada seorang ketua parti yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu pertandingan tiga penjuru. 

Dedah Ahmad Samsuri pada 17 November lagi, “memang semua (dalam pasukan perunding) kecewa, tapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama sesama kita.”

Mudah sahaja sebenarnya hendak dibaca hala tuju politik tanah air pasca PRN Melaka ini, kerana ia bergantung ke atas penerimaan pengundi terhadap “sikap abang long” tersebut.

Jika PN yang melalui Bersatu dalam PRU 14 memenangi dua kerusi mampu menambah bilangan kerusi ini dalam PRN Melaka maka ia adalah satu kejayaan bermakna untuknya.

Jika BN yang melalui Umno dalam PRU 14 memenangi 13 kerusi gagal mengekalkan bilangan kerusi ini dalam PRN Melaka maka ia pula adalah satu kegagalan besar untuknya.

Jika ini berlaku, maka ia adalah penolakan terhadap “sikap abang long” yang akan memaksa Umno melakukan perubahan dalam struktur kepimpinan mahupun pendekatan politiknya. – 19 November, 2021.

* Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen