POLIS Uganda menembak mati lima suspek dan menahan 21 orang pada Khamis, kata seorang pegawai, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengeboman bunuh diri berkembar yang didakwa sebagai kumpulan Negara Islam (IS) yang mengorbankan empat nyawa.
Letupan pada Selasa terbaharu dalam rentetan serangan di negara Afrika Timur itu, yang telah mengetatkan keselamatan dan melancarkan siasatan ke atas pengeboman, dengan Presiden Yoweri Museveni berikrar mengalahkan pengganas.
Serangan di ibu negara Kampala berlaku hanya dalam beberapa minit antara satu sama lain, dengan dua pengebom bunuh diri menyamar sebagai pemandu teksi motosikal “boda boda” meletupkan peranti berhampiran Parlimen, manakala penyerang ketiga menyasarkan pusat pemeriksaan berhampiran balai polis.
Polis Uganda berkata, serangan itu merupakan kerja “pengganas domestik” yang dikaitkan dengan Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF), sebuah kumpulan bersenjata yang aktif di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang dikaitkan dengan IS oleh Amerika Syarikat.
Pada Khamis, pegawai antikeganasan di barat negara itu membunuh “empat pengganas yang disyaki di Ntoroko ketike mereka menyeberang masuk semula ke DRC” kata jurucakap polis Fred Enanga pada sidang media.
Lelaki kelima dibunuh berhampiran ibu negara ketika dia cuba melarikan diri daripada ditangkap, kata Enanga, menambah Sheikh Abas Muhamed Kirevu adalah seorang pemimpin Islam tempatan yang “bertanggungjawab membangkitkan semula sel-sel pengganas di Kampala.”
Beliau berkata polis telah menahan 21 suspek sebagai sebahagian daripada tindakan keras mereka terhadap ADF, yang turut dipersalahkan atas dua serangan bulan lepas di Kampala.
Suspek “adalah penyusun, penyelaras, pembiaya aktiviti keganasan,” tambah Enanga.
Polis bulan lalu menahan beberapa orang yang dikatakan penyusun ADF dan memberi amaran pelampau dipercayai merancang serangan baharu. – AFP, 19 November, 2021.
Komen