Spesies dinosaur baharu ditemui di Brazil


Penyelidik di Brazil menemui sisa tinggalan spesies dinosaur baharu berkaki dua yang mempunyai mulut seperti paruh namun tanpa taring, dipercayai hidup antara 70 juta tahun dahulu. – Gambar AFP, 19 November, 2021.

SISA-SISA spesies dinosaur berkaki dua tidak bertaring yang hidup kira-kira 70 juta tahun lalu telah ditemui di Brazil, kata para penyelidik pada Khamis, menyebutnya sebagai penemuan “sangat jarang”.

Dinosaur kecil yang berukuran kira-kira satu meter panjang dan 80 sentimeter tinggi digolongkan dalam kumpulan theropod, yang dipercayai karnivor.

Namun yang membingungkan, spesies baharu digelar Berthasaura leopoldinae itu mempunyai mulut seperti paruh tanpa gigi.

“Ini satu kejutan sebenar,” kata ahli paleontologi yang menemui dinosaur tersebut dalam satu kenyataan dikeluarkan Muzium Negara Brazil.

Mereka menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Nature, menggelar penemuan itu “salah satu dinosaur paling lengkap ditemui dari zaman Cretaceous di Brazil.”

“Bahagian tanpa gigi menimbulkan keraguan tentang jenis diet haiwan ini,” kata penyelidik Geovane Alves Souza, salah seorang pengarang kajian.

“Ia tidak semestinya bermakna ia tidak makan daging. Banyak burung, seperti burung helang dan buzzard, makan daging dengan paruh. Kemungkinan besar, ia adalah omnivor yang hidup dalam persekitaran yang tidak mesra di mana ia perlu makan apa sahaja asalkan boleh.”

Rangka fosil itu ditemui di sepanjang jalan luar bandar di negeri selatan Parana antara 2011 dan 2014.

Analisis mendedahkan ia spesies baharu yang hidup antara 70 juta dan 80 juta tahun dahulu.

Spesies ini dinamakan untuk Bertha Lutz, seorang saintis dan feminis Brazil yang dihormati yang meninggal dunia pada 1976, serta untuk Maria Leopoldina, permaisuri Brazil abad ke-19, yang merupakan penaung sains. – AFP, 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen