AS siasat kesan Instagram terhadap kanak-kanak


Beberapa negeri di AS akan memulakan siasatan bersama terhadap syarikat induk Instagram, Meta berkenaan risikonya terhadap golongan muda. – Gambar EPA, 19 November, 2021.

KONSORTIUM membabitkan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) akan memulakan siasatan bersama terhadap syarikat induk Instagram, Meta.

Mereka mendakwa gergasi media sosial itu mempromosikan kandungan aplikasi yang berpotensi membahayakan golongan muda.

Instagram yang kini bergelut dengan krisis reputasi paling serius selepas pemberi maklumat membocorkan dokumen dalaman menunjukkan eksekutif syarikat tahu risiko dihadapi itu, mendorong AS memperbaharui peraturan.

Peguam Negara Massachusetts Maura Healey berkata Facebook kini Meta, gagal melindungi golongan muda yang melayari laman sesawangnya.

“Ia mengabaikan atau dalam beberapa kes, menggandakan manipulasi yang diketahui akan menimbulkan ancaman kepada kesihatan fizikal dan mental seperti mengeksploitasi kanak-kanak demi keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Konsortium itu merangkumi peguam negara, penguatkuasa undang-undang dan penasihat undang-undang tertinggi negeri termasuk New York, Colorado, California, Florida, Kentucky, Nebraska, New Jersey, Tennessee dan Vermont.

Sementara itu, Peguam Negara California Rob Bonta berkata siasatan antara lain menyasarkan teknik Meta untuk meningkatkan kekerapan dan tempoh pembabitan pengguna muda serta akibatnya.

“Ia susulan laporan mendedahkan penyelidikan dalaman Meta sendiri menunjukkan pengguna Instagram dikaitkan dengan peningkatan risiko kesihatan fizikal dan mental pada golongan muda, termasuk kemurungan, gangguan makan dan bunuh diri,” katanya.

Sementara itu, Meta menafikan dakwaan itu dan berkata sudah mengambil tindakan bagi melindungi golongan muda dalam talian. – AFP, 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen