Baiki sistem pendidikan untuk wujudkan pemimpin cekap, kata bekas ketua pengarah Ikim


Raevathi Supramaniam

Bekas ketua pengarah Ikim Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata pemimpin yang kurang pendidikan dan pengetahuan sempurna menyebabkan Malaysia tidak dapat diurus tadbir dengan cekap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 November, 2021.

KURANG pendidikan yang sempurna dan pengetahuan dalam kalangan pemimpin Malaysia, sama ada dalam blok kerajaan atau pembangkang, adalah punca kepada tadbir urus yang tidak cekap, kata bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Beliau berkata dua faktor itu juga punca kenapa pemimpin ini tidak bertanya soalan yang tepat dan menyediakan solusi kepada pelbagai masalah dihadapi negara.

Ketidakcekapan ini memberi ruang kepada oportunis politik dan individu yang ada cita-cita politik untuk hanya bercakap tentang diri mereka sendiri dan bukannya isu penting yang sedang berlaku.

“Pertama sekali kita kena perbaiki universiti kita; dengan berbuat demikian, pelajar dapat dipengaruhi secara positif dengan karakter dan intelek individu yang berpendidikan tinggi.

“Ini bermakna, untuk memperbaiki sistem ini, seseorang itu perlu ada pengetahuan tentang banyak perkara; tentang bahasa, sejarah, kesusasteraan, falsafah dan sebagainya.”

Selain pendidikan, ideologi politik perlu berubah. Politik dan dasar berdasarkan kaum perlu dimansuhkan dalam memastikan Malaysia dapat maju ke depan, katanya.

“Rakyat mahu lihat wajah baharu, tetapi kriteria lebih penting ialah perubahan dalam ideologi, terutama intipati kepada ideologi itu.

“Kita perlukan individu dengan ideologi yang boleh dijustifikasi dan rancangan yang betul. Seseorang yang dapat menawarkan dan kata kita perlu didik populasi dulu, kita perlu hentikan semua benda mengarut berdasarkan kaum, kita perlu guna pakai meritokrasi dan hapuskan budaya suap dan dasar tindakan afirmatif yang akhirnya merosakkan mereka yang sepatutnya dibantu.”

Memandangkan semua perubahan ini mengambil masa yang panjang, Syed Ali berkata Malaysia perlu bermula secepat mungkin, kalau tidak negara ini akan kekal mundur seperti sejak 40 tahun lalu.

“Kita perlu berubah, dan jika kerajaan serta pembangkang enggan berubah, maka kita perlu lepaskan diri daripada halangan ini. Jangan lupa kedua-duanya sama saja, dengan didikan prinsip ideologi yang tidak adil.

“Ia tidak boleh berlaku sekelip mata, semuanya akan ambil masa, dan secara berperingkat.” – 19 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen