POLIS menahan empat lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam dua sindiket pengedaran dadah bernilai RM1.6 juta di sekitar Lembah Klang pada Isnin hingga semalam.
Kesemua suspek yang ditahan dalam Op Lizard dan Op Kingfisher itu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dalam beberapa serbuan berasingan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata serbuan pertama dalam Op Lizard pihaknya telah menahan tiga lelaki tempatan di dua kawasan letak kereta di Jalan Sultan Sulaiman dan Gombak.
Beliau berkata dalam dua serbuan itu, polis menjumpai ganja seberat 31.51 kilogram (kg), pil erimin 5 (2,800 biji) dalam kereta yang dinaiki suspek.
“Nilai sitaan harta untuk sebuah kenderaan dan wang tunai bernilai lebih RM74,000 manakala nilai rampasan dadah itu bernilai RM122,025,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Yahaya berkata sindiket berkenaan bergerak aktif sejak pertengahan 2021 yang menjadikan kereta sebagai tempat menyimpan dadah berkenaan untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan kenalan rapat.
Sementara itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun dalam Op Kingfisher di sebuah kilang di Kampung Cheras Baru, di Kuala Lumpur pada Selasa lepas.
“Selain itu, rampasan ketamin seberat 20.66 kg, ganja seberat 7.4 kg, pil ekstasi 3.3 kg yang kesemua itu bernilai RM1.52 juta.
“Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya
Beliau berkata jumlah rampasan dadah terbabit boleh menampung 128,494 pengguna dadah. – Bernama, 18 November, 2021.
Komen