5 pemberontak dibunuh di Kashmir 


LIMA suspek pemberontak dibunuh di wilayah Kashmir yang ditadbir India, kata polis. 

Saudara kepada dua daripada suspek yang terbunuh menuntut mayat mereka dipulangkan kepada keluarga.

Pertempuran antara pemberontak dan pasukan keselamatan kerajaan India di wilayah bergolak Himalaya itu menyebabkan sekurang-kurangnya 140 orang terbunuh tahun ini.

Lima suspek terbabit dibunuh ketika dua operasi memburu pemberontak oleh pasukan keselamatan kerajaan di darah Kulgam, kata polis menerusi Twitter.

Insiden itu berlaku pada hari yang sama protes duduk bantah yang dibuat oleh saudara mara dan jiran dua lelaki yang dibunuh dalam operasi menggeledah bangunan komersial di Srinagar.

Polis berkata lelaki terbabit maut dalam insiden berbalas tembakan bersama dua lagi suspek pemberontak yang turut terbunuh. 

Tetapi keluarga mereka menuduh pasukan keselamatan membunuh mereka dengan kejam selepas membawa mereka ke pusat perniagaan untuk membantu mencari pemberontak.

“Hari ini ia berlaku kepada kami, esok ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Abdul Majeed Bhat, yang abangnya Mohammad merupakan pemilik bangunan berkenaan dan terbunuh dalam kejadian itu.

“Kami tidak akan berhenti sehingga mayat abang saya dikembalikan kepada kami,” kata Bhat kepada AFP. 

“Saya merayu kepada setiap warga Kashmir untuk memprotes perkara yang sama.”

Pasukan keselamatan di Kashmir tahun lalu mula menolak akses keluarga kepada mayat militan yang terbunuh.

Pegawai pasukan keselamatan berkata amalan itu membantu menghentikan tindakan memuliakan pemberontak anti-India, yang mana pengebumiannya biasanya dihadiri ribuan orang. – AFP, 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen