TENTERA Poland menahan sekumpulan 100 pendatang yang cuba menyeberangi sempadan dari Belarus pada waktu malam, kata kementerian pertahanan.
Kementerian itu menerusi Twitter berkata pada mulanya tentera Belarus akan melakukan tinjauan dan kemungkinan besar merosakkan pagar kawat berduri di sepanjang sempadan.
“Kemudian tentera Belarus memaksa pendatang melemparkan batu ke arah tentera Poland untuk mengalih perhatian mereka. Percubaan untuk menyeberangi sempadan berlaku pada jarak beberapa ratus meter,” katanya.
“Sekumpulan kira-kira 100 pendatang telah ditahan,” katanya, sambil menambah bahawa kejadian itu berlaku berhampiran kampung Dubicze Cerkiewne.
Rakaman video yang dikeluarkan oleh kementerian pertahanan menunjukkan tentera Poland mengepung sekumpulan pendatang di kawasan hutan pada waktu malam di sebelah kawat berduri.
Dianggarkan ribuan pendatang berada berhampiran sempadan EU di sebelah Belarus, dengan harapan untuk menyeberang.
EU menuduh Belarus mencetuskan krisis dengan menggalakkan pendatang untuk ke negara itu dan menjanjikan laluan mudah ke Kesatuan Eropah.
Belarus menafikan dakwaan itu dan meminta Poland untuk menerima pendatang. – AFP, 18 November, 2021.
Komen