Najib cadang ambil tindakan terhadap The Edge, kata saksi


Hailey Chung Wee Kye

Bekas perdana menteri Najib Razak bercadang mengambil tindakan terhadap The Edge selepas akhbar itu menyiarkan beberapa laporan menyerang 1Malaysia Development (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak bercadang mengambil tindakan terhadap The Edge selepas akhbar itu menyiarkan beberapa laporan menyerang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pemerolehan loji janakuasa dan rancangan tawaran awam permulaan (IPO), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini. 

Bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 dalam perbicaraan rasuah 1MDB Najib bernilai RM2.3 bilion memberitahu mahkamah beliau perlu menyusun dan menyelidik laporan berita negatif itu.

Beliau kemudian diberitahu untuk membawa artikel itu kepada Najib yang ketika itu berada di Timur Tengah.

Azmi berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang memberitahunya melalui pesanan Blackberry untuk bertemu Najib di Timur Tengah.

“Saya diberitahu oleh Low untuk pergi kerana akan ada perbincangan dengan Najib mengenai The Edge. Syarikat itu (1MDB) diserang oleh The Edge.

“Terdapat beberapa siri artikel negatif yang kami anggap mempersoalkan pemerolehan loji janakuasa kami, IPO dan perkara yang merujuk kepada Najib serta 1MDB,” katanya. 

Walaupun beliau tidak ingat sama ada pertemuan itu berlaku di Dubai atau Abu Dhabi, Azmi berkata Low memberinya lokasi hotel dan tarikh.

Saksi itu juga tidak menyatakan tahun kejadian yang didakwa berlaku.

Apabila Azmi sampai di lobi hotel beliau terserempak dengan ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alis yang ingin tahu tentang kehadiran Azmi.

Azmi kemudiannya terus mengikut arahan Low ke suite Najib.

“Saya menunggu (di luar) selama beberapa minit. Saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan jadi saya memberitahu Jho dan serta-merta pintu (suite) terbuka,” kata Azmi.

Beliau menunggu lagi kerana Najib tidak hadir disebabkan menghadiri satu majlis.

“Beliau kembali bersama beberapa orang lagi. Saya rasa saya teringat Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, seorang pegawai di pejabat perdana menteri.

“Ia bukan interaksi yang lama kerana saya diberitahu saya boleh pergi dan mereka meneruskan pertemuan itu.

“Beliau (Najib) cuba membuat keputusan sama ada akan mengambil tindakan terhadap The Edge berhubung serangan berkenaan,” kata Azmi.

Saksi itu menambah beliau tidak pasti dengan keputusan Najib selepas itu. – 18 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen