LEBIH 500 juta dos vaksin Covid-19 diedarkan di seluruh dunia menerusi program Covax, bertujuan untuk akses global yang saksama kepada inokulasi.
Covax ditubuhkan untuk memastikan negara miskin mendapat bekalan suntikan tetapi berlaku sebaliknya apabila negara kaya menempah dos berlebihan dari negara pengeluar.
Covax yang diketuai bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persekutuan Vaksin Gavi, dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), pada awal tahun berharap dapat mengedarkan dua bilion dos pada 2021.
Ketua Eksekutif Gavi Seth Berkley berkata usaha keras dan dedikasi luar biasa daripada rakan kongsi dan pekerja kesihatan, Covax mengedarkan 500 juta vaksin Covid-19 ke 144 negara dan wilayah.
Katanya, 92 wilayah penyertaan termiskin boleh mengakses suntikan secara percuma melalui Covax, dengan penderma menanggung kosnya.
“Covax berdepan cabaran pada 2021 dalam bentuk larangan eksport, kekurangan bekalan dan nasionalisme vaksin.
“Kini ketibaan vaksin di negara miskin semakin meningkat dengan pantas ketika kami berusaha untuk memastikan negara mempunyai seberapa banyak dos yang mereka mampu uruskan.
“Apabila penderma dan pengilang menyatakan bila dos tiba, negara boleh merancang pelancaran nasional berskala besar dan ini satu-satunya cara merapatkan jurang vaksinasi global,” katanya.
Bagaimanapun, Gavi berkata lima daripada negara termiskin di dunia iaitu Chad, DR Congo, Congo, Haiti, Sudan Selatan dan Yaman tidak mempunyai dos yang mencukupi untuk mencapai vaksinasi dua peratus daripada penduduk mereka.
Skim pembangunan dan perolehan kolektif Covax ditubuhkan untuk mengatasi kemungkinan bahawa sebahagian besar dunia akan dinafikan akses kepada mana-mana vaksin.
Menurut unjurannya, ia seharusnya berkuat kuasa sepanjang 2022. – AFP, 18 November, 2021.
Komen