British Columbia isytihar darurat, Kanada banjir


Pengisytiharan itu memberi pelbagai kuasa kepada British Columbia untuk menyekat perjalanan keluar dan masuk dari zon banjir. – Gambar EPA, 18 November, 2021.

KERAJAAN British Columbia di Kanada mengisytiharkan darurat di wilayah Pasifik, berikutan banjir dan tanah runtuh akibat hujan ribut sejak beberapa hari lalu, lapor Xinhua.

Pengisytiharan itu dibuat Perdana Menteri British Columbia John Horgan pada sidang akhbar. “Hujan lebat, angin kencang, banjir telah menjejaskan seluruh komuniti wilayah kami.”

Pengisytiharan itu memberi pelbagai kuasa kepada wilayah itu untuk menyekat perjalanan keluar dan masuk dari zon banjir.

“Perintah itu akan mengekalkan akses asas kepada perkhidmatan dan bekalan untuk komuniti di seluruh wilayah,” kata Horgan.

Beribu-ribu penduduk dipindahkan dari kediaman mereka dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di selatan British Columbia.

“Dengan sedihnya, kami juga menjangka akan menerima lebih banyak laporan kematian dalam beberapa hari akan datang,” kata Horgan.

Menurut Horgan beliau menghubungi Perdana Menteri Justin Trudeau, sambil menambah kerajaannya kini secara rasmi meminta bantuan angkatan tentera Kanada.

Menurut beliau, kerajaan Trudeau dan kerajaan tempatan Alberta, Saskatchewan dan Ontario menawarkan bantuan kepada wilayahnya. – Bernama, 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen