Kerajaan sokong bayar balik hutang 1MDB dengan cepat, kata bekas pengarah


Hailey Chung Wee Kye

Bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Putrajaya keluarkan surat sokongan dua hari selepas pengarah 1MDB secara bertulis bersetuju kumpul dana AS$3 bilion melalui bon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2021.

PUTRAJAYA telah mengeluarkan surat sokongan untuk mengambil tanggung jawab bagi membayar balik hutang projek 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mencecah berbilion ringgit, kata bekas pengarah dana pelaburan itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ismee Ismail memberi keterangan yang surat sokongan itu dikeluarkan dua hari selepas pengarah 1MDB secara bertulis bersetuju untuk mengumpul dana AS$3 bilion (RM12.5 bilion) melalui bon.

Wang itu adalah untuk usaha sama antara 1MDB Global Investment Ltd (GIL), anak syarikat 1MDB, dan Aabar Investments PJS.

Ia juga merupakan perjanjian kerajaan-kepada-kerajaan dengan Abu Dhabi.

Ismee berkata bekas perdana menteri Najib Razak mempunyai hasrat besar untuk menjalankan usaha sama membangunkan projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang kini dikenali sebagai Tun Razak Exchange, atau TRX.

“Surat sokongan itu dikeluarkan kerajaan pada kadar yang sangat pantas,” kata saksi pendakwaan ke-13 dalam perbicaraan rasuah 1MDB Najib bernilai RM2.28 bilion.

“Kelulusan untuk kumpul dana sebanyak AS$3 bilion telah dicapai pada resolusi pekeliling pengarah (DCR) pada 12 Mac 2013, dan surat sokongan telah dikeluarkan pada 14 Mac 2013.”

Mengesahkan dokumen itu di mahkamah hari ini, Ismee turut berkata surat itu ditandatangani Najib selaku menteri kewangan ketika itu.

“Dokumen ini menyatakan kerajaan telah ambil maklum 1MDB GIL akan keluarkan bon AS$3 bilion untuk dibayar penuh pada Mac 2023.

“Jika 1MDB GIL tidak mampu bayar hutang ini, syarikat 1MDB akan menyediakan bantuan kewangan untuk memenuhi obligasi pembayaran balik hutangnya.

“Dan jika syarikat 1MDB gagal dalam tanggungjawabnya, maka kerajaan akan memikul tanggungjawab tersebut,” kata Ismee.

Beliau turut mengesahkan yang beliau menandatangani dan meluluskan DCR untuk usaha sama itu atas kapasitinya sebagai pengarah 1MDB.

“Ia adalah satu cadangan yang pada mulanya boleh memberi manfaat kepada syarikat dan menjadi hasrat Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk menjalin usaha sama dengan pihak Aabar.

“Hampir semua keputusan yang dicapai 1MDB untuk mengumpul dana AS$3 bilion adalah melalui DCR dan Resolusi Pemegang Saham Utama Boleh Tebus Hak Khas (SRR).

“Sekiranya keputusan segera diperlukan, biasanya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR,” katanya.

Selasa lepas, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 memberi keterangan yang AS$3 bilion digunakan untuk tujuan lain dan bukannya membiayai usaha sama itu.

Azmi percaya pemindahan wang itu dipersetujui Najib.

Juga dikatakan dalam perbicaraan itu, usaha sama tersebut sebenarnya berurusan dengan syarikat palsu yang berkongsi nama yang sama dengan Aabar sebenar di Abu Dhabi.

Najib, 68, menghadapi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen