AMERIKA Syarikat (AS) mahu menghasilkan satu bilion lebih dos vaksin mRNA setiap tahun, bermula 2022, baik untuk pandemik semasa mahu pun ancaman masa depan, kata pegawai pada Rabu.
“Matlamat program ini adalah untuk kembangkan kapasiti sedia ada dengan tambahan satu bilion dos setiap tahun, dengan pengeluaran bermula pada separuh kedua 2022,” kata Jeff Zients, penyelaras tindak balas koronavirus Rumah Putih semasa sidang akhbar.
Untuk capai matlamat tersebut, jabatan kesihatan AS “menuntut syarikat berminat yang ada pengalaman keluarkan vaksin mRNA, kenal pasti peluang untuk pertingkat kapasiti pengeluaran mereka,” katanya.
Pelan ini, selain menyediakan lebih banyak dos buat penduduk AS, akan membolehkan Amerika Syarikat membantu negara lain juga, kata Zients. Beliau berkata sehingga Rabu Washington telah menghantar 250 juta dos ke 110 negara secara percuma.
“Program ini juga akan membantu kami hasilkan dos dalam tempoh enam hingga sembilan bulan selepas mengenal pasti patogen masa depan,” tambahnya.
Presiden Joe Biden, yang popularitinya makin merosot, ingin meningkatkan usaha memerangi pandemik.
Menurut laporan media AS, Biden akan mengumumkan pembelian 10 juta rawatan antivirus terhadap Covid-19 tidak lama lagi.
Amerika Syarikat, yang dengan lebih daripada 760,000 kematian telah kehilangan lebih banyak nyawa berbanding negara lain di dunia, terus mencatatkan lebih 1,000 kematian setiap hari secara purata selama tujuh hari, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. – AFP, 18 November, 2021.
Komen