SEKURANG-KURANGNYA 25 orang awam maut dipercayai akibat perbuatan kumpulan IS di Niger iaitu kawasan padang pasir yang tiada undang-undang berhampiran sempadan Mali.
Niger, negara termiskin di dunia mengikut penanda aras Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bergelut dengan pemberontak hampir di seluruh negara itu.
Kegiatan militan paling ketara di sepanjang sempadan barat negara itu dengan Mali dan Burkina Faso serta di tenggara bersempadan dengan Nigeria.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, serangan pada Selasa di bandar Bakorat di wilayah padang pasir Tahoua bersempadan dengan Mali mengakibatkan 25 terbunuh, seorang cedera dan dua kenderaan musnah.
Dalam satu lagi serangan di Temaram di wilayah sama, individu bersenjata yang tidak dikenali turut menggeledah dewan dan pusat kesihatan serta merompak dua kedai pemindahan wang.
Pihak keselamatan dikerahkan ke kawasan itu dan penduduk tempatan diminta terus berwaspada.
Akhbar Air Info yang memetik seorang mangsa terselamat melaporkan, penyerang tiba menaiki enam kenderaan pacuan empat roda didahului beberapa motosikal.
Serangan maut itu yang terbaru di kawasan berkenaan di mana kumpulan IS muncul sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada 5 November, 11 askar terbunuh dan sembilan dilaporkan hilang dalam serangan ke atas kedudukan tentera di Dagne, di wilayah Tillaberi. – AFP, 18 November, 2021.
Komen