MEXICO berjanji menubuhkan “batalion pelancong” terdiri daripada 1,500 pegawai polis negara untuk berkawal di pantai popular Caribbean di Cancun dan Tulum, daripada serangan jenayah terancang.
Tulum adalah lokasi insiden tembakan pada Oktober lalu yang menyebabkan dua pelancong muda terbunuh, masing-masing warga Jerman dan India. Tiga yang lain cedera.
Pada November, insiden tembakan berlaku di Puerto Morelos, berhampiran Cancun – dikatakan membabitkan pergaduhan dua geng – menyebabkan dua pengedar dadah mati dan mencetuskan panic di sebuah hotel yang penuh pelancong.
“Keadaan ini tidak boleh berulang,” kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada sidang akhbar, menambah batalion itu akan memperkasakan keselamatan di kawasan terbabit.
Unit baharu itu akan mula beroperasi pada 1 Disember di kawasan dikenali sebagai Riviera Maya di Quintana Roo, kata Setiausaha Pertahanan Luis Cresencio Sandoval.
Pihak berkuasa bercadang untuk mewujudkan batalion sama di beberapa kawasan tumpuan pelancong yang lain, secara berperingkat.
Riviera Maya dan semenanjung Yucatan adalah kawasan pelancongan utama di Mexico, negara ketujuh paling ramai menerima pengunjung di seluruh dunia.
Insiden keganasan terbaru itu menonjolkan sisi gelap Tulum dan resort Mexico yang lain, terkesan akibat perang berebut kawasan antara geng kongsi gelap membabitkan dadah dan peras ugut. – AFP, 18 November, 2021.
Komen