Pengguna Apple dibenarkan baiki sendiri telefon


Program Baik Pulih Layan Diri baharu Apple akan bermula di AS tawar penjualan alatan dan alat ganti kepada mereka yang ingin membaiki telefon bimbit model iPhone 12 atau 13 yang rosak. – Gambar EPA, 18 November, 2021.

APPLE akan mula membenarkan pengguna membaiki sendiri peralatan yang dibeli daripada syarikat gergasi Lembah Silikon itu, yang dilihat sebagai kemenangan bagi penyokong “hak membaiki”.

Pembuat iPhone dan komputer jenis Mac itu sebelum ini hanya membenarkan juruteknik mereka sendiri di bar Genius di kedai atau pusat servis bertauliah, di mana pemilik peranti perlu menunggu lama dan kosnya tinggi.

Menurut hantaran di Twitter @iFixit, yang menawarkan panduan pembaikan untuk pelbagai peranti, pihaknya tidak menyangka Apple akan membenarkannya.

“Terdapat sedikit komplikasi, tetapi kami teruja melihat Apple mengakui perkara yang sudah kami ketahui iaitu semua orang cukup ‘genius’ (bijak) untuk membaiki iPhone,” katanya.

Program Baik Pulih Layan Diri baharu Apple akan bermula di Amerika Syarikat (AS), menawarkan penjualan alatan dan alat ganti kepada mereka yang ingin membaiki telefon bimbit model iPhone 12 atau 13 yang rosak khususnya skrin, bateri dan kamera.

Menurut syarikat itu, program sama akan dilancarkan di negara lain sepanjang tahun depan dan diperluaskan untuk komputer Mac.

Ketua Pegawai Operasi Apple Jeff Williams berkata mencipta akses lebih besar kepada alat ganti tulen Apple memberikan pelanggan lebih banyak pilihan jika peranti perlu dibaiki.

“Dalam tiga tahun lalu, Apple menggandakan bilangan lokasi perkhidmatan dengan akses kepada alat ganti, alatan dan latihan tulen Apple.

“Kini kami menyediakan pilihan untuk mereka yang ingin membaik pulih peranti mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP, 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen