15 penunjuk perasaan mati ditembak tentera di Sudan


Penunjuk perasaan turun ke jalanan di seluruh ibu kota Sudan walaupun telefon dan perkhidmatan Internet terjejas sejak rampasan kuasa tentera pada 25 Oktober. – Gambar EPA, 18 November, 2021.

PASUKAN tentera Sudan menembak mati sekurang-kurangnya 15 penunjuk perasaan bantahan rampasan kuasa dan menyebabkan berpuluh-puluh yang lain cedera, kata pihak berkuasa perubatan.

Ia adalah insiden kekerasan paling teruk sejak tentera mengambil alih kuasa 25 Oktober lalu.

Kematian itu dilaporkan berlaku di Khartoum, terutama daerah di bahagian utara negara itu – menjadikan angka kematian kepada 39 sejak rampasan kuasa, kata persatuan doktor pro demokrasi.

Ratusan yang lain dilaporkan cedera.

“Hari pembunuhan beramai-ramai ini mengukuhkan lagi slogan kami: tiada rundingan, tiada kerjasama, tiada kompromi – dengan tentera,” kata penganjur protes, Persatuan Profesional Rakyat Sudan (SPA).

Penunjuk perasaan turun ke jalanan di seluruh ibu kota walaupun telefon dan perkhidmatan Internet terjejas sejak rampasan kuasa tentera.

Mereka yang kebanyakannya golongan muda wanita dan lelaki, menepuk tangan dan dipukul sebelum protes itu bertukar menjadi ganas.

Ketika keganasan tercetus, pasukan tentera turut melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan ramai penunjuk perasaan tercedera, kata saksi.

Polis menafikan menggunakan peluru dan stesen televisyen negara mengumumkan siasatan terhadap kematian itu sedang dialankan.

Persatuan doktor berkata kebanyakan mangsa yang maut mengalami kecederaan akibat tembakan di kepala, leher dan badan.

Demonstrasi turut berlaku di Port Sudan. – AFP, 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen