Mozek berusia 2,700 tahun ditemukan di Turki


Pakar Muzium Arkeologi Izmir menjalankan penyelidikan di barat Turki menjumpai mozek milik zaman Rom antara tahun 753-509 SM. – Gambar EPA, 17 November, 2021.

MOZEK berusia 2,700 tahun yang dipercayai milik orang kaya Rom ditemukan di barat Turki.

Polis Turki mengesan terdapat aktiviti penggalian haram dilakukan di kawasan taman kediaman berhampiran Bazar Kemeralti dan tapak bersejarah Agora Ruins di wilayah Izmir.

Selepas sebulan polis melakukan siasatan, polis menahan tiga suspek yang cuba menggali tinggalan sejarah itu, lapor Agensi Anadolu. 

Susulan penahanan itu, pakar dari Muzium Arkeologi Izmir menjalankan penyelidikan di kawasan itu dan menjumpai mozek berukuran 178 x171 sentimeter dan dua tiang bergalur sepanjang dua meter milik zaman Rom antara tahun 753-509 SM.

Mozek, yang menggambarkan dua figura manusia dengan ayam jantan dipercayai milik orang kaya Rom pada zaman itu dan biasanya terdapat di ruang dalam rumah sebagai lambang kemegahan dan kekayaan.

Suspek memberitahu polis mereka menjumpai mozek tersebut ketika menggerudi di kawasan berkenaan untuk mengeluarkan air.

Berikutan penemuan mozek yang dikatakan jarang berlaku di dunia itu kawasan tersebut kini diletakkan di bawah kawasan dilindungi. – Bernama, 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen