Decathlon henti jual kayak di utara Perancis elak pendatang rentas sempadan


Pada 2020, kira-kira 9,500 orang yang menyeberangi Selat Inggeris atau cuba melakukannya berbanding 2,300 pada 2019 dan 600 pada 2018. – Gambar AFP, 17 November, 2021.

PERUNCIT peralatan sukan Decathlon semalam berkata mereka tidak akan lagi menjual kayak di utara Perancis untuk menghalang pendatang cuba menggunakannya untuk menyeberang ke England.

“Pembelian kayak tidak lagi boleh dilakukan memandangkan konteks semasa,” kata peruncit itu kepada AFP mengesahkan laporan media tempatan.

Barangan itu tidak digunakan untuk tujuan sukan asalnya tetapi boleh digunakan untuk menyeberangi Selat Inggeris, katanya.

Dalam kes sedemikian “nyawa rakyat akan terancam”, kata peruncit berkenaan.

Kedai itu sendiri memutuskan untuk menghentikan jualan kayak dan pihak pengurusan meluluskan keputusan itu, kata Decathlon.

Kayak akan terus tersedia untuk pembelian dalam talian dan di kedai lain. Peralatan keselamatan lain seperti jaket keselamatan dan perlindungan haba juga masih akan dijual di kedai Calais dan Grande-Synthe.

Pada Jumaat, tiga pendatang dilaporkan hilang selepas cuba menyeberangi Selat ke Britain dengan kayak.

Dua kayak ditemui hanyut di Calais pada Khamis dan dua mangsa ditemui.

Terdahulu pada Selasa polis Perancis membersihkan kem pendatang utama yang menempatkan kira-kira 1,000 orang yang berharap untuk sampai ke Britain.

Rekod bilangan pendatang menyeberangi Selat itu dengan bot kecil Khamis lalu – 1,185 mengikut angka British yang disifatkan kerajaan British sebagai “tidak boleh diterima”.

Pihak berkuasa Perancis berkata mereka menjalankan 10 operasi berasingan semalam di mana 272 pendatang yang cuba menyeberangi Selat ke England menaiki bot diselamatkan.

Pegawai maritime berkata mereka dibawa ke pelabuhan Calais, Dunkrik dan Boulogne-sur-Mer di mana mereka dijaga oleh polis sempadan dan bomba.

Pengawas Maritim Philippe Dutrieux berkata kira-kira 15,400 pendatang cuba menyeberangi Selat berbahaya antara 1 Januari dan 31 Ogos dengan kira-kira 3,500 daripada mereka diselamatkan dari bot dan dibawa ke pantai Perancis.

Pada 2020, kira-kira 9,500 orang yang menyeberangi Selat itu atau cuba melakukannya berbanding 2,300 pada 2019 dan 600 pada 2018. – AFP, 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen