PENDUDUK di Washington tidak lagi diwajibkan memakai topeng pelitup muka di dalam bangunan mulai minggu depan kecuali di tempat tertentu seperti pengangkutan awam dan sekolah, kata datuk bandar ibu kota AS itu semalam apabila kes Covid-19 di bandar itu semakin menurun.
“Bermula Isnin 22 November, Washington akan menarik semula perintah penggunaan topeng pelitup muka di dalam bangunan,” umum Muriel Bowser di Twitter.
Perniagaan swasta dibenarkan untuk membuat peraturan mereka sendiri sambil menambah topeng pelitup muka juga masih diwajibkan dalam kenderaan kongsi, perpustakaan, rumah penjagaan, penjara dan beberapa pejabat kerajaan bandar.
Washington menguatkuasakan perintah penggunaan topeng pelitup muka pada akhir Julai untuk semua individu sama ada sudah lengkah vaksinasi atau tidak di tengah-tengah lonjakan jangkitan yang dikaitkan dengan peningkatan varian Delta.
Bandar ini sudah melaksanakan langkah yang agak ketat bagi membendung penularan Covid-19 berbanding tempat lain di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun panduan baharu itu nampaknya bertentangan dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC)
CDC masih menganggap Washington sebagai kawasan penularan Covid-19 komuniti dan mencadangkan agar semua orang memakai topeng di kawasan awam dan dalam bangunan. – AFP, 17 November, 2021.
Komen