Juruterbang TUDM maut pesawat pejuang terhempas


Salhan K. Ahmad

Pesawat jenis Hawk 108 tersebut difahamkan menjalani satu penerbangan rutin sebelum terhempas kira-kira jam 10 malam. – Gambar hiasan, 16 November, 2021.

SEORANG pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disahkan maut dan seorang lagi cedera selepas pesawat pejuang yang dikendali mereka terhempas dalam kejadian di Butterworth malam ini.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengesahkan ia melibatkan pesawat jenis Hawk 108 yang terhempas kira-kira jam 10 malam.

Salah seorang pegawai terbabit kini dirawat di hospital, katanya dalam kenyataan di media sosial.

Menurutnya, kejadian di Pangkalan Udara Butterworth itu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad.

“TUDM diarahkan segera beri laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” kata Hishammuddin yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pegawai terbabit.

The Malaysian Insight difahamkan, pegawai berkenaan menjalankan penerbangan rutin dalam kejadian itu.

Dalam satu kenyataan rasmi lewat malam ini, TUDM juga mengesahkan kemalangan berlaku dalam kawasan landasan pangkalan udara tersebut.

“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.”

Kenyataan dikeluarkan Markas Tentera Udara itu juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita tidak sahih mengenai kes tersebut. – 16 November, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen