Sukar Pakatan tawan Melaka jika peratus keluar mengundi rendah, kata Adly


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari berkata PH sukar untuk kembali memerintah Melaka jika rakyat enggan keluar mengundi pada 20 November. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 November, 2021.

RAKYAT Melaka akan terlepas peluang mengangkat semula Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri sekiranya peratusan keluar mengundi hujung minggu ini kurang daripada 70%, kata calon ketua menterinya Adly Zahari.

Pengerusi Amanah Melaka berkata PH sukar untuk kembali memerintah Melaka jika rakyat enggan keluar mengundi pada 20 November.

“Untuk PH kekal berkuasa lebih 70% rakyat keluar mengundi baru membolehkan PH memerintah negeri.

“(Kadar peratus) bawah daripada itu memang ada kesukaran kepada PH itu sendiri,” kata bekas ketua menteri Melaka ke-11 itu, ketika wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight, di Ibu Pejabat Amanah Melaka, baru-baru ini.

Adly berkata, kebimbangan itu dapat dirasakan kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini PH kehilangan undi Bersatu, selepas parti itu keluar daripada PH dan membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama PAS.

“Cabaran kita, dulu PH ada kesepakatan dengan Bersatu… kita hilang itu, walaupun tak hilang semua, kerana kita tahu bila Bersatu tinggalkan PH tak semua bersama Bersatu, sebahagian bersama Pejuang dalam pembangkang, sebahagian menyertai PH,” kata Adly.

Adly berkata, sebelum penamaan calon pada 8 November lalu, pihaknya menyedari bilangan pengundi yang enggan keluar mengundi agak tinggi, antaranya kerana kebimbangan penularan Covid-19 serta kekecewaan terhadap tingkah laku segelintir ahli politik.

“Mereka rasa mereka tak berkepentingan lagi untuk memilih dalam sistem demokrasi.

“Tetapi sikit demi sikit saya fikir rakyat sudah mula tahu kepentingan mereka menghadapi pilihan raya ini,” kata Adly.

Calon PH bagi kawasan DUN Bukit Katil itu berkata, rakyat tidak harus khuatir untuk keluar mengundi memandangkan kadar vaksinasi sudah mencapai tahap yang tinggi.

“Saya tak fikir perbandingan kita seperti yang berlaku di Sabah, kita sudah mendapat vaksin dan masuk ke Fasa 4,” katanya, merujuk gelombang penularan Covid-19 selepas PRN Sabah pada hujung tahun lalu.

“Rakyat boleh lihat sistem sosial kita, kedai makan, ikan bakar, kita tengok orang melimpah, yang penting kita ikut SOP,” tambahnya.

“Jadi memang kita mahu berikan kesedaran, dengan keadaan semasa vaksin, (Melaka pada) Fasa 4, mendorong rakyat (keluar mengundi), persoalan tentang aktiviti sosial mengurangkan ketakutan mereka untuk keluar mengundi.”

Rakyat Melaka sukar terima PAS

Menyentuh cabaran yang diberikan oleh PN, Adly berkata rakyat Melaka sukar menerima sikap PAS.

“Kita tak nafikan PAS mempunyai boleh kata akar umbi di Melaka tapi penerimaan rakyat kepada PAS masih jauh. Saya sendiri pernah menjadi kepimpinan PAS.

“Mungkin dasar dibawa PAS, sikap dan cara PAS berpolitik dengan membawa mesej agama dalam istilah yang saya sebut mungkin mempergunakan agama untuk kepentingan politik, tidak boleh diterima dalam konteks masyarakat di Melaka.

“Walaupun ada kelebihan, satu penyatuan baru, tapi belum tentu diterima rakyat keseluruhannya,” katanya.

PH mensasarkan untuk menang antara 18 hingga 20 kerusi daripada 28 keseluruhan kawasan DUN Melaka, tambahnya.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terdapat sekurang-kurangnya sembilan kerusi panas yang menjadi rebutan parti bertanding kerana kerusi-kerusi itu dimenangi dengan majoriti tipis.

Enam daripadanya dimenangi Barisan Nasional dengan tiga lagi milik PH.

PH sasarkan untuk menang antara 18 hingga 20 kerusi daripada 28 keseluruhan kawasan DUN Melaka, kata Adly Zahari.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 November, 2021.

Ujian prestasi PH

Dalam pada itu Adly melihat PRN kali ini juga akan menjadi penanda aras kepada PH untuk melihat sejauh  mana prestasi 22 bulan mereka sebelum ini dinilai oleh rakyat, terutama di kawasan kerusi panas.

Selain itu, perpecahan parti lawan juga katanya mampu memberikan kelebihan kepada PH.

“Bagi PH kelebihan kita kekalkan sokongan lalu walaupun kita mungkin ada hilang sokongan yang pecah antara Bersatu dan Pejuang, tapi kita ada 22 bulan yang boleh menjadi satu nilai tambah kita di samping kerjasama rakan lain itu sendiri,” katanya.

Adly mentadbir kerajaan PH Melaka selama 22 bulan selepas PRU14 namun terpaksa meletak jawatan disebabkan percaturan politik yang juga menyebabkan pertukaran kerajaan Pusat di Putrajaya. 

Dalam PRN Melaka kali ini, PH sekali lagi menamakan Adly sebagai calon ketua menteri mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga meletakkan sasaran 70% pengundi akan keluar bagi bagi PRN Melaka. 

Ketika PRU14, Melaka merekodkan sejumlah 84.5% rakyat yang keluar mengundi pada waktu itu. – 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen