Najib lulus pinjaman Deutsche Bank, kata saksi 


Hailey Chung Wee Kye

Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah Najib Razak meluluskan pinjaman AS$975 juta untuk membeli balik saham 1MDB dalam Aabar Investment PJS pada 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2021.

BEKAS ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB hari ini berkata tidak pernah tahu mengenai surat kelulusan dan sokongan (LOS) daripada Kementerian Kewangan untuk pinjaman 1MDB daripada Deutsche Bank.

Azmi Tahir berkata beliau tidak pernah melihat LOS daripada bekas menteri kewangan Najib Razak untuk pinjaman AS$250 juta dan AS$975 juta sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Saksi pendakwaan ke-12 perbicaraan jenayah Najib berhubung RM2.28 bilion dalam dana 1MDB berkata beliau tidak menandatangani mana-mana perjanjian pinjaman, walaupun terdapat tandatangannya.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azmi dirujuk oleh pihak pendakwaan mengenai LOS kemudahan pinjaman berjangka yang diatur oleh Deutsche Bank, cawangan Singapura.

“Saya tidak pernah dimaklumkan atau ditunjukkan dokumen ini semasa saya berkhidmat sebagai CFO di 1MDB,” kata Azmi di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Ada tandatangan saya dan Timbalan CFO Terence Geh Choh Heng. Saya mengesahkan ia adalah tandatangan saya.

“Bagaimanapun, saya pasti tidak pernah melihat surat ini dan menandatanganinya bagi pihak 1MDB untuk tujuan surat ini,” katanya.

Saksi menambah, pinjaman AS$250 juta dibuat pada 26 Mei 2014 dan pinjaman AS$975 juta dibuat pada 1 September 2014.

“Namun, saya mendapat tahu LOS ini dibuat pada 29 Ogos 2014. Setahu saya, dokumen pinjaman itu juga tidak merujuk kepada LOS.

“Saya percaya ia dibuat tanpa pengetahuan pihak pengurusan,” katanya.

Sebelum ini, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman berkata beliau terkejut apabila Najib meluluskan pinjaman AS$975 juta untuk membeli balik saham 1MDB dalam Aabar Investment PJS pada 2014. – 16 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen