Operator kedai judi boleh mohon semakan kehakiman, kata peguam


Angie Tan

OPERATOR kedai judi dan mereka yang terjejas mata pencarian akibat larangan terhadap kedai nombor ekor di Kedah boleh merujuk kepada mahkamah untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri, kata peguam.

Keputusan itu, yang diumumkan oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor “untuk menangani penyakit akibat perjudian”, melanggar undang-undang pentadbiran am dan semangat keadilan asasi, kata peguam Gan Ping Sieu.

Menjelaskan prinsip keadilan asasi, Gan berkata melibatkan kes seorang pekerja hilang kerja akibat pemberhentian secara mengejut tanpa dirujuk dengan betul.

Tindakan itu yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan pekerja melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan kerana pekerja mempunyai hak untuk hidup dan kebebasan.

“Ia mengenai sumber mata pencarian.

“Jika keputusan kerajaan negeri berakhir dengan pekerja kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, mereka perlu memenuhi prinsip keadilan asasi.

“Mereka perlu berjumpa dan berunding dengan operator. Dengar pandangan mereka.

“Bukan tiba-tiba ditamatkan. Adalah tidak munasabah bagi mana-mana kerajaan meluluskan undang-undang yang melanggar prinsip keadilan asasi,” kata Gan, bekas Adun Johor dan timbalan menteri belia dan sukan.

Gan berkata keputusan MB Kedah jelas dibuat atas dasar agama.

Katanya, ia melanggar Perkara 8 Perlembagaan yang menyatakan undang-undang tidak boleh mendiskriminasi kumpulan etnik lain atas dasar agama.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, seorang peguam, memberitahu The Malaysian Insight peluang mendapatkan semakan kehakiman cerah kerana kerajaan Kedah pimpinan PAS tidak memberikan alasan kukuh mengenai keputusannya tidak memperbaharui lesen perjudian.

Ahli Parlimen DAP itu berkata keputusan kerajaan Kedah mempunyai “agenda politik” untuk meningkatkan peluang parti itu memenangi pilihan raya.

Lim berkata beliau khuatir jika langkah PAS berjaya di Kedah, ia boleh mendapat tempat di negeri lain dan parti Islam itu akan menggunakan langkah ekstrem agama ini untuk menawan pengundi.

“Pada pilihan raya umum lalu, PAS tidak menang apa-apa di Melaka.

“Sejak itu, mereka adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan berkuasa di beberapa negeri sekarang.

“Jadi apa pilihan yang mereka ada selain menggunakan isu agama dan etnik untuk meningkatkan peluang untuk menang?”

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Yeo Yang Poh, bagaimanapun, memberi amaran walaupun mungkin berjaya mendapat semakan kehakiman, keputusannya mungkin sukar untuk diramalkan.

Gan Ping Sieu berkata larangan atas alasan agama bukan sahaja akan memburukkan lagi ketegangan etnik tetapi menjadi sebab industri perjudian haram, sambil menambah pasaran gelap akan berkembang dan operator juga akan bergerak secara dalam talian.

Sanusi menimbulkan kontroversi selepas mengumumkan kerajaan negeri tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai loteri 4D, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata keputusan itu akan berkuat kuasa mulai tahun depan, sambil menambah langkah itu akan membantu menangani penyakit akibat perjudian.

Beliau berkata penduduk Kedah yang ingin membeli tiket 4D boleh ke Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, serta menteri MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak untuk menjelaskan sama ada pengharaman kedai 4D dan penjualan arak kepada bukan Islam adalah dasar baharu di bawah Keluarga Malaysia.

Lim berkata keputusan itu mungkin dibuat untuk membantu calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya Melaka.

PAS sepatutnya berunding dengan MCA, MIC dan masyarakat Cina mempertimbangkan kerugian yang mungkin berlaku akibat keputusan mengejut itu, tambahnya. – 16 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen