JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperhalusi data penjawat awam yang masih enggan menerima vaksin Covid-19 sebelum membuat keputusan mengenai tindakan yang boleh dikenakan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Beliau berkata JPA meminta laporan daripada ketua-ketua jabatan mengenai dua perkara iaitu bilangan penjawat awam yang belum divaksinasi dan bagaimana isu berkenaan ditangani.
“Kedua-dua perkara ini mengambil kira keperluan untuk penjawat awam berterusan memberi perkhidmatan kerana mereka tidak boleh duduk di rumah,” katanya media selepas sesi Town Hall KPPA bersama warga universiti awam dan pelajar tajaan JPA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Putrajaya, hari ini.
Khairul Adib berkata JPA meminta tempoh dua minggu untuk meneliti data penjawat awam yang masih belum divaksinasi itu.
JPA dalam pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 dan perlu melengkapkan imunisasi sebelum 1 November, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
Pada 8 November lepas, Khairul Adib dilaporkan berkata penjawat awam di Kementerian Pendidikan dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. – Bernama, 16 November 2021.
Komen