Pfizer, BioNTech, Moderna untung AS$93.5 juta sehari, dakwa kumpulan


Pfizer, BioNTech dan Moderna mengutamakan kontrak paling menguntungkan dengan kerajaan kaya dan abaikan negara berpendapatan rendah. – Gambar EPA, 16 November, 2021.

PFIZER, BioNTech dan Moderna memperoleh keuntungan gabungan sebanyak AS$65,000 (RM273,000) setiap minit daripada vaksin Covid-19 keluaran mereka ketika negara termiskin di dunia sebahagian besarnya masih belum divaksinasi, menurut analisis baharu.

Syarikat itu menjual sebahagian besar dos mereka kepada negara-negara kaya, menyebabkan negara berpendapatan rendah kesusahan, kata Perikatan Vaksin Rakyat (PVA), sebuah gabungan untuk akses lebih meluas terhadap vaksin Covid, yang berdasarkan pengiraan laporan pendapatan firma itu sendiri.

PVA menganggarkan ketiga-tiga syarikat akan memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak AS$34 bilion tahun ini antara mereka, kira-kira lebih AS$1,000 sesaat, AS$65,000 seminit atau AS$93.5 juta sehari.

“Adalah menjengkilkan hanya beberapa syarikat membuat keuntungan jutaan dolar setiap jam, manakala hanya 2% orang di negara berpendapatan rendah diberi vaksin sepenuhnya terhadap koronavirus,” kata Maaza Seyoum dari Perikatan Afrika dan Perikatan Vaksin Rakyat Afrika.

“Pfizer, BioNTech dan Moderna menggunakan monopoli mereka untuk mengutamakan kontrak yang paling menguntungkan dengan kerajaan kaya, mengabaikan negara berpendapatan rendah.”

Pfizer dan BioNTech menghantar kurang 1% daripada keseluruhan bekalan mereka ke negara berpendapatan rendah manakala Moderna hanya menghantar 0.2%, kata PVA.

Pada masa ini, 98% orang di negara berpendapatan rendah belum diberi vaksin sepenuhnya.

Tindakan ketiga-tiga syarikat itu berbeza dengan AstraZeneca dan Johnson & Johnson, yang menyediakan vaksin mereka bukan berasaskan keuntungan, walaupun kedua-duanya mengumumkan bakal menghentikannya pada masa hadapan apabila wabak reda.

PVA berkata walaupun menerima pembiayaan awam lebih AS$8 bilion, Pfizer, BioNTech dan Moderna menolak panggilan untuk memindahkan teknologi vaksin kepada pengeluar di negara berpendapatan rendah dan sederhana melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “satu langkah yang boleh meningkatkan bekalan global, menurunkan harga dan menyelamatkan jutaan nyawa.”

“Dalam kes Moderna, walaupun terdapat tekanan eksplisit daripada White House dan permintaan daripada WHO supaya syarikat itu bekerjasama dan membantu mempercepatkan rancangan mereplikasi vaksin Moderna untuk pengeluaran lebih meluas di hab mRNAnya di Afrika Selatan,” kata kumpulan itu.

Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla menolak pemindahan teknologi sebagai “mengarut berbahaya”, keputusan WHO memberikan kelulusan penggunaan kecemasan kepada Covaxin yang dibangunkan India awal bulan ini membuktikan negara membangun mempunyai kapasiti dan kepakaran, tambah PVA.

PVA, yang 80 ahlinya termasuk Perikatan Afrika, Global Justice Now, Oxfam, dan UNAIDS, menyeru syarikat farmaseutikal segera menggantung hak harta intelek vaksin Covid dengan bersetuju menerima cadangan pengecualian perjanjian TRIPS Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Lebih 100 negara, termasuk Amerika Syarikat, menyokong langkah itu, tetapi ia disekat oleh negara kaya termasuk UK dan Jerman. – AFP, 16 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen