JUNTA Myanmar mendakwa pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi berhubung penipuan semasa pilihan raya tahun lalu, yang menang besar, lapor media kerajaan hari ini.
Suu Kyi berdepan pertuduhan “penipuan pilihan raya dan tindakan melanggar undang-undang”, lapor akhbar dikawal kerajaan Global New Light of Myanmar, tanpa memberikan butiran mengenai bila prosiding mahkamah akan bermula.
Seramai 15 pegawai lain - termasuk bekas presiden Win Myint dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya - menghadapi pertuduhan yang sama, tambah laporan itu.
Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada Februari mencetuskan protes di seluruh negara dan tindakan keras membawa maut terhadap perbezaan pendapat.
Ditahan sejak rampasan kuasa itu, Suu Kyi, 76, menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk mengimport walkie talkie secara haram, menghasut dan rasuah, serta berdepan dekad penjara jika sabit kesalahan.
Beliau sudah dibicarakan kerana melanggar sekatan koronavirus semasa berkempen menjelang pilihan raya, yang menyaksikan parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) miliknya mengalahkan parti yang bersekutu dengan tentera.
Pemerhati antarabangsa berkata pilihan raya 2020 sebahagian besarnya adalah bebas dan adil.
Junta mengancam untuk membubarkan NLD dan bulan lalu memenjarakan Win Htein, pembantu rapat Suu Kyi dan pemimpin tertinggi, hingga 20 tahun atas tuduhan mengkhianat.
Lebih 1,250 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan junta Myanmar sejak rampasan kuasa dan lebih 10,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan. – AFP, 16 November 2021.
Komen