6 maut, 10 cedera nahas jalan raya di Pakistan


SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh manakala 10 yang lain cedera dalam nahas jalan raya berasingan di Pakistan sepanjang tempoh 24 jam, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.

Dalam kejadian pada Selasa pagi, dua pelajar terbunuh dan 10 yang lain cedera apabila sebuah van sekolah dirempuh kereta api ketika van itu melintasi rel kereta api yang tidak dikawal di bandar Sheikhupura di wilayah Punjab, timur Pakistan.

Kemalangan dilaporkan berlaku akibat kecuaian pemandu van yang didakwa melarikan diri dari tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kemalangan jalan raya pada malam Isnin, empat terbunuh di Islamabad apabila sebuah kereta terbalik selepas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh empat kenderaan lain.

Empat mangsa yang parah dikejarkan ke hospital oleh pasukan penyelamat namun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Pakistan, terutama disebabkan kenderaan tidak diselenggara dengan baik, keadaan jalan raya yang teruk serta akibat kecuaian. – Bernama, 16 November 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen