Korea Selatan di kedudukan ke-18 indeks integriti pertahanan


Korea Selatan di tempat ke-18 daripada 85 negara dalam senarai indeks integriti sektor pertahanan untuk tahun 2020. – Gambar EPA, 16 November, 2021.

KOREA Selatan menduduki tempat ke-18 daripada 85 negara dalam senarai indeks integriti sektor pertahanan untuk tahun 2020, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Transparency International Korea pada Selasa.

Menurut Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI), Korea Selatan memperoleh 59 mata pada skala 100 mata iaitu di bawah kategori gred C yang bermakna sesebuah negara mempunyai risiko rasuah sederhana dalam sektor pertahanan.

GDI menganalisis indeks risiko rasuah dalam institusi pertahanan dan keselamatan berdasarkan penilaian lima bidang risiko – politik, perolehan, kakitangan, kewangan dan operasi.

Korea Selatan memperoleh masing-masing 79 mata dan 75 mata dalam bidang kakitangan dan politik, dan 62 mata (perolehan) manakala 13 mata (operasi).

Dalam laporan itu, negara-negara diklasifikasikan mengikut tahap risiko daripada gred A dengan risiko sangat rendah kepada F dengan risiko kritikal.

New Zealand satu-satunya negara mendapat gred A diikuti lapan negara gred B termasuk Britain, Norway dan Jerman.

Korea Selatan menerima gred C bersama Jepun, Amerika Syarikat, Sweden, Australia dan beberapa negara lain. – Bernama, 16 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen