5 remaja cedera ditembak berhampiran sekolah di AS


LIM remaja cedera dalam satu kejadian tembakan yang berlaku berhampiran sekolah menengan di Amerika Syarikat semalam, kata polis.

Pegawai di Aurora, Colorado dipanggil ke sebuah taman berhampiran Central High School di mana mereka mendapati lima remaja berusia 14 dan 17 tahun mengalami kecederaan, kata Jabatan Polis Aurora.

“Suspek tidak dikenali sudah tidak berada di lokasi kejadian. Lima mangsa sudah dibawa ke hospital.

“Insiden tidak berlaku di dalam kawasan sekolah tetapi hanya di utara di Nome Park,” kata polis menerusi Twitter.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman udara taman itu menunjukkan pegawai penguatkuasa berlegar-legar di kawasan berkenaan.

Colorado tidak asing dengan kejadian keganasan senjata api apabila berdepan dua tembakan besar-besaran yang paling terkenal dalam sejarah AS.

Pada 1999, dua remaja lelaki menembak dan membunuh 12 rakan sekelas serta seorang guru di Columbine High School.

Kemudian pada 2012, seorang lelaki lengkap bersenjata menyerbu panggung wayang di Aurora dan membunuh 12 lelaki. Lelaki bersenjata itu kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.

Pada Mac tahun ini seorang lelaki bersenjata membunuh 10 individu termasuk seorang pegawai polis di sebuah kedai runcit di Boulder County, 50 kilometer di luar Denver.

Selepas setahun menghabiskan sebahagian besar pembelajaran dalam talian, sekolah AS kembali dibuka semula, menghidupkan semula ketakutan kes tembakan di kampus dengan beberapa insiden berskala kecil dilaporkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Lebih 256,000 pelajar terdedah dengan keganasan senjata api di sekolah-sekolah AS, menurut data yang dikumpulkan oleh The Washington Post.

Angka itu termasuk mereka yang terperangkap dalam keganasan seperti saksi dan mereka yang terpaksa mengosongkan institusi pendidikan apabila tembakan meletus.

Menurut pangkalan data Post terdapat 29 kes tembakan di sekolah di AS pada 2018 dan 27 pada 109. Angka The Post tidak termasuk tembakan di kolej atau universiti, bunuh diri atau pelepasan tidak sengaja.

Tembakan sekolah terbaru di AS berlaku pada 2018 apabila 17 orang maut ditembak bekas pelajar di sebuah sekolah menengah di Parkland, Florida.

Kawalan senjata lebih ketat sangat popular dalam kalangan rakyat AS tetapi rakyat Republikan sudah lama menentang larangan itu yang dilihat sesetengah pihak sebagai bentuk pelanggaran hak mereka untuk memegang senjata. – AFP, 16 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen