PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky semalam berkata orang ramai akan ditawarkan insentif tunai untuk mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi yang rendah di negara itu.
“Mereka yang mendapatkan dua dos vaksin akan menerima 1,000 Hryvnias atau sekitar 35 euro ($40),” kata Zelenksy dalam satu video.
Jumlah itu cukup besar untuk warga salah satu negara termiskin di Eropah dan di mana kurang daripada satu pertiga penduduk sudah divaksin sepenuhnya.
Wang itu boleh digunakan untuk membeli keahlian kelab sukan, tiket untuk pawagam, teater atau muzium, atau tiket kereta api atau kapal terbang untuk perjalanan di dalam Ukraine, kata presiden.
“Ini adalah sektor yang paling terjejas teruk disebabkan sekatan pergerakan,” kata Zelenksy.
Kerajaan dijangka meluluskan 200 juta euro dalam beberapa bulan akan datang untuk skim itu yang akan dilancarkan pada 19 Disember.
Bekas republic Soviet itu merekodkan 442 kematian akibat koronavirus dalam tempoh 24 jam lalu semalam yang merupakan jumlah kematia baharu kedua tertinggi di dunia selepas Rusia yang mencatatkan 1,211.
Negara dengan 45 juta penduduk itu kini sedang berdepan gelombang pandemik yang paling teruk disebabkan oleh varian Delta yang mudah menjangkiti dan tahap keraguan vaksin yang tinggi dalam kalangan penduduk.
Pihak berkuasa cuba meningkatkan vaksinasi dengan mengenakan sekatan ke atas mereka yang tidak divaksin seperti keperluan untuk mendapatkan sijil vaksin di beberapa ruang awam.
Tetapi menurut data kementerian kesihatan hanya 28% rakyat Ukraine sudah menerima dua dos vaksin.
Secara keseluruhan Ukraine sudah merekodkan 3.2 juta kes sejak wabak bermula dan lebih 77,000 kematian. – AFP, 16 November, 2021.
Komen