Pelajar lakukan pemeriksaan haid ikut tradisi sekolah, kata menteri


Chan Kok Leong

Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan peringatan bertarikh 2 November, mengenai pemeriksaan fizikal terhadap pelajar perempuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2021.

PEMERIKSAAN haid secara mengejut yang dijalankan ke atas pelajar di sebuah sekolah di Setapak sudah menjadi tradisi sejak sekian lama, kata Dr Radzi Jidin.

Menteri kanan (Pendidikan) memberitahu Dewan Rakyat hari ini, pelajar memberitahu pihak berkuasa pendidikan ia tradisi sekolah yang dijalankan oleh pelajar senior dan dilakukan sejak turun temurun.

Radzi, yang melawat sekolah itu pada 27 Oktober lalu selepas isu itu diketengahkan di media sosial, berkata kementerian memutuskan untuk tidak mengumumkan dapatan mereka kerana ia adalah hal ehwal pelajar.

“Pemeriksaan (haid) dijalankan oleh pelajar. Oleh itu, untuk mengurangkan tekanan orang ramai, kami memutuskan untuk tidak mengumumkan penemuan kami tetapi menasihati mereka agar berhenti melakukannya,” kata Radzi semasa sesi penggulungan kerajaan mengenai perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 hari ini.

Beliau berkata ketua pengarah Kementerian Pendidikan juga mengeluarkan peringatan bertarikh 2 November, mengenai pemeriksaan fizikal terhadap pelajar perempuan.

“Kami tahu ia berlaku dan kami memutuskan semua pengetua mesti memastikan ia dihentikan serta-merta di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.”

Menteri itu menjawab soalan Teo Nie Ching (Kulai-PH) yang meminta maklumat terkini mengenai isu itu.

Ketika ditanya siapa yang mengarahkan pelajar senior menjalankan pemeriksaan mengejut, Radzi berkata terdapat versi berbeza mengenai perkara itu.

“Ada yang berkata sudah menjadi tradisi pemimpin pelajar untuk memastikan pelajar mengikut disiplin tertentu tetapi kita sedang memeriksa sama ada guru terlibat.

“Secara amnya, kami sudah berjumpa dengan semua pelajar dan ada antara mereka yang menerimanya sebagai tradisi yang diamalkan di sekolah sejak sekian lama. Sesetengah daripada mereka tidak tahu ia tidak sepatutnya dilakukan,” kata Radzi.

Bagaimanapun, menteri itu memberi jaminan kepada Parlimen yang tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana guru yang terlibat dalam pemeriksaan mengejut haid itu.

Amalan kontroversi pemeriksaan mengejut haid di sekolah sejak sekian lama diadu pelajar dan ibu bapa yang menyifatkan ia sebagai pencerobohan privasi.

Pemeriksaan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan pelajar meninggalkan solat berjemaah. – 15 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen