PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang berkata umat Islam tidak harus terjebak dengan kempen #UndiRosak yang menurutnya bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, umat Islam bertanggungjawab untuk mengundi bagi memilih pemimpin kerana politik merupakan sebagian daripada Islam.
“Ini satu kempen yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan agama kerana Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama.
“Memilih pemimpin adalah tanggungjawab agama, satu amanah yang cukup besar. Mengundi adalah kewajipan yang mesti ditunaikan rakyat dan orang Islam,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Hadi turut berkata PAS menentang sekeras-kerasnya usaha menggerakkan kempen berkenaan yang digerakkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
Kempen #UndiRosak yang bermula sejak beberapa bulan lalu digerakkan aktivis politik yang bosan dan tidak puas hati terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Protes ke atas PH pula lebih menjurus kepada penentangan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan blok pembangkang itu dan dinamakan sebagai
calon perdana menteri.
Kempen itu ditolak oleh kedua-dua blok, PH dan BN. Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu agar penyokongnya tidak menzahirkan protes itu kerana Dr Mahathir Mohamad adalah calon terbaik untuk PH buat masa ini.
Perdana Menteri Najib Razak pula berkata kempen itu bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan tidak sepatutnya dilakukan.
Katanya rakyat Malaysia sepatutnya menggunakan hak tersebut ntuk menentukan kerajaan.
Kempen Undi Rosak kini tular di laman sosial, dengan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU. – 30 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan