BELARUS sedang berusaha untuk menghantar pulang beberapa ribu pendatang, kebanyakannya dari Timur Tengah, yang kini membanjiri sempadan antara negara itu dengan Poland, kata Presidennya Alexander Lukashenko.
“Usaha untuk meyakinkan mereka agar pulang ke negara asal sedang diteruskan. Namun tiada siapa yang mahu pulang,” kata Lukashenko yang dipetik dari agensi berita Belta.
Beliau juga berkata Belarus boleh menghantar pendatang ini pulang menerusi syarikat penerbangan negara Belavia ke Jerman sekiranya Polang tidak menyediakan koridor kemanusiaan.
“Kita akan hantar mereka ke Munich dengan pesawat kita sendiri, jika perlu,” kata Lukashenko.
Pemimpin itu berkata bekas negara Soviet itu tidak mahu krisis pendatang berubah menjadi konflik.
Ratusan pendatang cuba menyeberangi sempadan Belarus ke negara EU Poland sejak beberapa bulan lalu namun ketegangan tercetus selepas usaha menyeberangi sempadan digagalkan pengawal sempadan Poland.
Kerajaan Barat menuduh rejim Lukashenko menarik pendatang ke negaranya dan menghantar mereka untuk menyeberang ke EU sebagai tindakan balas terhadap sekatan.
Sekatan itu dibuat sebagai tindak balas tindakan keras terhadap pembangkang susulan pilihan raya presiden tahun lalu dan keputusan Lukashenko untuk menghentikan penerbangan Ryanair awal tahun ini ke atas Belarus untuk menahan seorang aktivis.
Pada Ahad, Belavia mengumumkan rakyat Syria, Iraq, Yaman dan Afghanistan dilarang daripada penerbangan masuk dari Emiriah Arab Bersatu atas permintaan Dubai, selepas Minsk dituduh membawa masuk pendatang untuk dihantar ke Eropah.
Dalam satu kenyataan kepada rakyat empat negara yang disiarkan di laman webnya, Belavia berkata mereka tidak akan dibenarkan menaiki penerbangan dari Dubai ke Belarus “mengikut keputusan pihak berkuasa di UAE”.
Tindakan itu dibuat selepas Belavia pada Jumaat melarang rakyat Syria, Iraq dan Yaman daripada penerbangan masuk dari Turki atas permintaan Ankara. – AFP, 15 November, 2021.
Komen