Anjakan norma politik baharu berasaskan nilai dan kenegaraan


DALAM era pembangunan semula pemulihan sosioekonomi negara, dimensi politik terus mendepani  kancah penentuan dasar dan polisi untuk haja tuju negara bagi dekad dan abad yang akan datang. 

Percaturan politik dan perlumbaan penguasaan pengaruh, kuasa dan kawalan terus menjadi medan fokus dalam setiap strategi dan inti pati gerakan pelbagai pihak dalam memastikan kedudukan kuasa dan pengaruh tidak tergugat. 

Landskap politik mutlak dan perebutan kawalan kuasa ke atas pangkat, status dan pemerintahan menyaksikan norma, nilai serta pegangan teras yang menjadi tulang belakang keharmonian dan pembangunan negara terus tergugat, dipalu oleh ombak politik sempit dan kerakusan dalam mempertahankan kuasa dan kedudukan.

Faktor kritikal yang menjadi tunjang kepada kekentalan kemajuan masyarakat dan negara menjadi platform free for all kepada pihak yang pantas dan secara bersistematik mempergunakan spektrum ini untuk kelebihan politik dan kuasa. 

Kemampanan sosioekonomi holistik, jaringan perpaduan utuh, keharmonian dan kesejagatan masyarakat merupakan aset dan landasan yang menjadi faktor kritikal terpenting dalam sejarah pembangunan negara namun dalam dekad yang terdekat, platform ini terus menjadi lapangan kepada perencanaan kepentingan politik. 

Dalam menelusuri sejarah perjalanan perkembangan negara sejak kemerdekaan, dimensi pembangunan dan transformasi ekonomi dan sosial menyaksikan anjakan ketara dari segi teras asas, nilai dan skop, seiring dengan panggilan perubahan pentas rantau dan dunia. 

Dimensi politik terus menjadi penghambat dan penghalang kepada kemajuan progresif dalam merealisasikan hasrat dan aspirasi pembangunan negara yang dicanang, di mana ia terus dilingkari oleh rantaian skop serta struktur objektif dan metodologi yang tidak sejajar dengan keperluan dan kepentingan negara dan impak global.

Persaingan politik dilihat sebagai rencana jangka pendek yang melangkaui keperluan untuk memperkasa kesiapsiagaan dan pengorbanan yang diperlukan untuk kecekalan dan kemampanan kemajuan masyarakat dan negara untuk jangka masa panjang. 

Titik permulaan lonjakan anjakan pemikiran dan pegangan yang berpaksikan amanah dan tanggungjawab bernilaikan semangat kenegaraan dan konsep masyarakat dan Keluarga Malaysia yang dinamik, progresif serta harmoni perlu dicetus dari peringkat akar umbi dan terus diangkat oleh golongan pelaksana dan ahli politik dalam mempertahankan  institusi perpaduan dan konsep kekeluargaan dan kekitaan Keluarga Malaysia. 

Politik matang yang berlunaskan nilai dan teras murni Malaysia serta bertunjangkan keperluan dan cabaran masa depan dalam melihat konteks yang lebih besar untuk dekad dan abad yang akan datang akan membolehkan usaha mengangkat darjat Keluarga Malaysia sebagai pemangkin kelestarian keharmonian dan kemajuan negara dalam era pasca pandemik.

Lembaran dan nafas baharu menjadi suntikan kepada semua pihak untuk tidak dibiarkan tanggungjawab dan amanah kepada raja dan negara menjadi mangsa kepada agenda lain yang akan menggugat aspirasi negara. 

Lembaran wadah politik baharu negara perlu menyaksikan tahap profesionalisme serta perubahan futuristik dalam meletakkan masyarakat dan negara sebagai tunjang utama dan perencanaan perjalanan politik perlu merentasi spektrum konvensional, di mana aspek pemecah dan penghalang kepada perpaduan dan kesejagatan keharmonian tidak lagi dijadikan sebagai bekalan kepentingan politik, sebaliknya terus berganding bahu dalam memikul semangat tanggungjawab dan patriotisme dalam mengangkat negara ke persada yang diimpikan. 

Dalam memecah kepompong dan ikatan politik sempit dan kuno, sandaran perlu diperkukuh ke atas transformasi penghayatan dan penerapan prinsip, pegangan dan nilai universal yang menjunjung keluhuran dan kemurnian pembinaan tata negara dan kapasiti penjenamaan politik berasaskan etika dan moral. 

Rencana masa depan negara tercinta akan terus terjamin dengan jalinan aspirasi bersama untuk memperbaiki kepincangan dan bergabung tenaga dan kepakaran melalui pengasahan bakat dan potensi menyeluruh berasaskan keperluan masa depan yang diterajui oleh kemajuan sains dan teknologi. 

Kelebihan kepelbagaian sumber penjana dalam memastikan kekentalan institusi utama terus terlindung dan berdaya tahan menjadi pentas inisiatif untuk menyusur galurkan fokus bersasar dalam memperkukuh kelengkapan menghadapi krisis.

Dalam mengangkat kecemerlangan negara dengan berpaksikan pembangunan berlandaskan daya saing futuristik serta berteraskan anjakan perspektif dan paradigma yang melangkaui jangkauan dan norma lama, kesepaduan dan transformasi minda dan kesungguhan masyarakat dalam mencetus usaha bersama ke arah aspirasi yang direncana dan dalam konteks pemulihan menyeluruh pasca Covid-19 menjadi penyandang kepada manifestasi pencapaian kejayaan negara. 

Keunikan makna dan sandaran kepada nilai, wawasan, pegangan serta prinsip jati diri dan patriotisme kepada negara tercinta menjadi titik tolak dan peneraju kepada masa depan negara.

Usaha ke arah masa depan yang lebih cekal dan berdaya saing akan terbantut sekiranya potensi dan kekuatan sebenar masyarakat dan modal insan tidak digembleng sepenuhnya dalam menempa pencapaian bertaraf global. 

Dalam menyemarak semangat kekitaan serta perpaduan rakyat dan penyemaian nilai dan prinsip berlunaskan patriotisme dan cintakan negara, satu penanda aras dan lembaran baharu akan terhasil dalam memacu kesatuan aspirasi dan semangat untuk menyumbang dan berkorban untuk negara dan masyarakat, sejajar dengan panggilan tertinggi untuk berkhidmat dan menjadikan negara sebagai medan bakti sumbangan  kegemilangan dan pengorbanan.

Dalam menelusuri lakaran pembangunan landskap politik dan pembangunan negara yang baharu, prinsip dan nilai asas negara yang bertunjangkan kepada kesetiaan dan ketaatan kepada raja dan negara dan keluhuran Perlembagaan serta pemupukan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat menjadi kayu ukur penghasilan landasan yang teguh dalam menjana transformasi hala tuju pembangunan negara dan galvanisasi holistik modal insan.

Penghayatan nilai erti sebenar kebanggaan dan kekuatan negara yang dicerminkan oleh pencapaian yang ditempa sepanjang tempoh kemerdekaan diberi perspektif dan makna yang tersendiri. 

Pemulihan dan kebangkitan pasca Covid-19 akan menjadikan nilai dan penghargaan pembinaan semula negara pada kali ini lebih bermakna dalam memperbaharui semangat dan takuk yang baharu, dipacu oleh keunggulan nilai dan semangat kekitaan dan patriotisme yang dipupuk dan disemarakkan dalam konteks menghadapi cabaran bersama pandemik Covid-19 dan kekusutan sosio-ekonomi.

Dalam merungkai halangan masa depan dan merentasi polemik lama, penghargaan dan pengiktirafan setiap lapisan masyarakat untuk terus menzahirkan usaha dan pengorbanan kepada negara yang berlandaskan keutuhan semangat patriotisme dan cintakan negara menjadi pegangan bersama yang akan terus mekar dalam dinamika kelangsungannya yang kebal dimamah usia. 

Tiada likuan ranjau dan cabaran yang mustahil untuk ditangani dengan kejituan perpaduan dan kesepakatan bersama dalam melakar jalan penyelesaian dan membentuk teraju pencapaian baharu. 

Impak kejayaan Malaysia di mata dunia bukan hanya akan dinilai dan diukur dari segi sumbangan ekonomi dan ilmu secara amnya, evolusi peradaban dunia dan kemanusiaan yang berlandaskan kesucian dan penghayatan nilai, prinsip dan pegangan murni dalam membentuk ketamadunan masa depan menjadi perintis kebanggaan bersama.  – 15 November, 2021.

* Collins Chong, penolong pendaftar Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen