FACEBOOK semalam mengatakan ia akan menyampaikan lebih banyak berita dalam negara kepada penggunanya di Amerika Syarikat, dalam usaha terbaru untuk menguruskan aliran maklumat dalam rangkaian media sosial paling berpengaruh itu.
Awal bulan ini, Facebook mengumumkan ia akan meminta lebih dua bilion penggunanya untuk meletakkan ranking sumber berita dipercayai mereka dalam usaha menangani penyebaran maklumat silap.
Perubahan itu dilakukan ketika gergasi dalam talian itu cuba menangani kegagalannya- bersama-sama Google dan Twitter- bagi menghalang penyebaran berita palsu terutama sekali ketika Pilihan Raya Presiden 2016.
“Berita tempatan membantu membina komuniti- dalam talian dan di luar,” kata Pengasas Bersama Facebook dan Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg dalam catatan di media sosial itu.
“Sangat mustahak untuk memastikan masa kita di Facebook bernilai.”
Zuckerberg melakukan lawatan ke seluruh AS tahun lepas, melawat pengguna Facebook.
“Satu yang orang sentiasa beritahu saya adalah betapa kita ada banyak persamaan jika kita berjaya atasi isu nasional yang memecah belahkan,” kata Zuckerberg dalam catatan itu.
Beliau juga memetik kajian yang mengatakan membaca lebih banyak berita tempatan menyebabkan orang berhubung erat dengan komuniti mereka.
Facebook menghebahkan lebih banyak kisah daripada sumber berita tentang bandar mereka kepada pengguna di AS, dan merancang berbuat demikian kepada lebih banyak negara tahun ini.
Antara perubahan terbaru di Facebook termasuklah ranking “sumber dipercayai” bertujuan untuk “memastikan berita yang anda lihat berkualiti tinggi” dan menyuburkan “rasa kebersamaan” berbanding perpecahan, kata Zuckerberg lagi.
Facebook memutuskan untuk bergantung kepada pengguna mereka meletakkan rangking kepada sumber berita.
Ia juga mengutamakan perkembangan kawan-kawan dan ahli keluarga serta perkongsian mereka berbanding iklan, catatan selebriti dan media.
Syarikat itu menyifatkan perubahan itu untuk memberikan tumpuan kembali kepada “komuniti”- mengutamakan interaksi sosial dan perhubungan, walaupun ia akan menyebabkan penggunanya menghabiskan kurang masa menggunakannya. – AFP, 30 Januari, 2018.
Komen