BEBERAPA calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyimpulkan bahawa ini kali pertama kempen pilihan raya yang paling suram dalam sejarah pilihan raya negara. Apapun PRN yang diadakan dalam pendekatan luar biasa telah melepasi 50 peratus tempoh berkempen.
-2.jpg)
Tinggal lagi enam hari termasuk hari ini menjelang hari pengundian. Berbanding PRN Sabah September 2020 dan dua pilihan raya kecil pertama yang diadakan ketika negara dibadai Covid-19, iaitu Chini dan Slim, buat pertama kali parti dan calon berhadapan dengan kejutan larangan proses berkempan berikutan pandemik Covid-19. SPR mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kerana bimbang impak pandemik.
Meskipun SOP yang diumumkan pada hari penamaan calon sedikit kelihatan lebih baik berbanding keputusan Kementerian Kesihatan dua minggu sebelum itu, tetapi ruang lebih fleksibel yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Susulan itu, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan penganalisis telah meminta agar SPR menyemak semula SOP semasa, yang didakwa tidak menyediakan ruang untuk aktiviti berkempen yang efektif.
SPR perlu mencari satu kaedah yang lebih dinamik dalam memberi ruang kepada parti, calon dan jentera mereka bergerak dalam tempoh singkat berkempen yang ditetapkan.
Berdasarkan SOP SPR, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka dilarang. Bagi tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Wechat, Snapchat, Whatsapp, Telegram dan lain-lain aplikasi.
Selain itu, kempen menggunakan rangkaian televisyen, akhbar tempatan juga digalakkan dan calon perlu memanfaatkan penggunaan teknologi.
Di sebalik galakan SPR supaya setiap calon menggunakan saluran media sosial dan media tradisional dan media dalam talian, dan sementara rayuan dan desakan agar SPR menyemak semula SOP yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh berkempen, sebahagian calon dan parti mereka menggunakan ‘kaedah lawatan mesra’ atau ‘walkabouts’ tersendiri untuk bertemu dengan pemilih di kawasan masing-masing. Nampaknya mereka menggunakan kreatif masing-masing, menggunakan segala ruang yang ada untuk bertemu dengan pengundi mereka.
Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, bahagian berkaitan kempen dan batasan mengenainya, antara lain menetapkan aspek-aspek berikut:
Seksyen 24b(1): Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh mengadakan kempen pilihan raya semasa tempoh berkempen.
Seksyen 24b(2): Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen, membuka atau menubuhkan atau menyenggarakan pejabat di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding bagi maksud kempennya dalam sesuatu pilihan raya.
Seksyen 24b(3): Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen:
(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan apa-apa perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka;
atau
(b) memberikan apa-apa ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka, di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh pegawai polis yang menjaga daerah di mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan itu hendak diadakan atau ucapan atau syarahan itu hendak diberikan.
Lazimnya, meskipun Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tidak menggariskan peruntukan mengenai tempoh hak waktu untuk berkempen setiap hari, tetapi di bawah kebenaran permit untuk berkempen, segala aktiviti berkempen perlu dihentikan pada pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh berkempen termasuk pada hari terakhir berkempen, bermakna sehari sebelum pengundian sebenar berlangsung.
Malah, aktiviti berkempen tidak dibenarkan pada hari pengundian dan di kawasan berhampiran pusat mengundi. Permit untuk kempen di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya, di mana apa jua kempen yang dijalankan, dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, dan mesti mendapat permit oleh ketua polis daerah; sama ada ceramah atau bentuk lain.
Bertolak dari peruntukan Seksyen 24(B) itu, pada hari ini, buat kali pertama, kita menyaksikan kempen secara meluas menerusi media sosial dan media massa; meskipun impaknya tidak sehebat apabila adanya pertemuan secara fizikal yang pernah dialami, dilalui dan disaksikan sepanjang lebih enam dekad lalu, sejak dan selepas negara merdeka.
Di bawah senario semasa ketika kempen hanya dibenarkan dalam bentuk media sosial dan media massa lain, sejauh mana peruntukan “tengah malam” akan berkuat kuasa dan akan dikuatkuasakan. Ia tetap menjadi satu persoalan. Ini kerana kempen berlarutan sepanjang hari; 24/7. Sempadan dan batasan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam tempoh kempen dalam pilihan raya juga menjadi perhatian.
Maka, sistem pilihan raya memerlukan kerangka perundangan yang jelas mengikut keperluan semasa.
Dalam laporan yang dikemukakan kepada kerajaan pada Ogos 2020, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), antara lain telah mengesyorkan supaya SPR, selaku agensi utama dalam pengurusan pilihan raya, mengetuai satu skim yang boleh memastikan setiap parti dan calon yang bersaing menikmati akses adil kepada media massa dari segi liputan. Bermakna SPR akan mengetuai sebuah jawatankuasa pemantauan disyorkan, yang turut dianggotai oleh pelbagai pihak yang akan SPR dalam perkara itu.
Syor itu termasuk ruang lingkup mengawal kandungan dan aktiviti berkempen sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk ketika tempoh berkempen yang ditetapkan oleh SPR dan penggunaan media sosial yang mula mendapat perhatian di setiap peringkat ekosistem negara.
Bermakna penggunaan pendekatan yang pelbagai yang relevan dan wajar serta sesuai dengan keperluan semasa bagi menyediakan akses yang seimbang yang diperlukan pada hari ini. Kita perlu berubah. Dan, ini memerlukan kerangka perundangan yang jelas dan dinamik.
Sudah tiba masa bagi negara menggubal kerangka perundangan pilihan raya secara komprehensif, dengan SPR diberi mandat untuk bertindak sebagai pengurus pilihan raya induk bagi mencerminkan prinsip sebenar demokrasi pilihan raya dicapai.
Kerangka perundangan perlu jelas, adil dan seimbang demi manfaat setiap pemegang taruh: parti politik, calon, ejen calon, pekerja dan sukarelawan mereka, agensi-agensi penyokong jentera SPR, dan rakyat jelata yang bakal mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.
Jika tidak, kita tidak akan mencapai makna sebenar pilihan raya demokrasi. – 14 November, 2021.
* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen