PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Sabtu menafikan dakwaan Moscow membantu mengatur krisis yang menyebabkan ratusan pendatang dari Timur Tengah terperangkap di sempadan Belarus-Poland.
Menyalahkan dasar Barat di Timur Tengah atas krisis tersebut, Putin membalas tuduhan Poland dan lain-lain yang Rusia bekerjasama dengan Belarus untuk menekan sempadan Kesatuan Eropah (EU).
“Saya mahu semua orang tahu. Kami tidak ada kena mengena dengannya,” katanya kepada televisyen kerajaan.
Putin berkata pemimpin Eropah perlu berbincang dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko untuk menyelesaikan krisis itu dan “seperti yang saya faham” Canselor Jerman Angela Merkel bersedia untuk berbuat demikian.
“Kita jangan lupa dari mana datangnya krisis yang dikaitkan dengan pendatang ini… negara Barat sendiri termasuk negara Eropah,” katanya.
Pendatang, terutamanya Kurdish, telah terperangkap selama berhari-hari di sempadan dengan suhu hampir membeku, mendirikan khemah dan membakar kayu untuk memanaskan badan.
Belarus berkata terdapat kira-kira 2,000 orang di kem itu, termasuk wanita hamil dan kanak-kanak. Poland berkata terdapat antara 3,000 dan 4,000 pendatang di sempadan, dengan lebih ramai yang tiba setiap hari. – AFP, 14 November, 2021.
Komen