DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Putrajaya perlu mengkaji semula larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina kerana ia akan menyukarkan perniagaan untuk pulih daripada kesan pandemik Covid-19, kata pengusaha.
Larangan itu sebaliknya hanya akan menguntungkan pasar raya besar dan menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tambah mereka.
Pengusaha kedai ubat Cina dan kedai runcit yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata peraturan tersebut tidak berkesan untuk mengawal penjualan minuman keras kerana ia masih boleh didapati di tempat lain seperti hotel, pub dan bar.
Pengarah Urusan Fahmi Lian Herbs & Food Sdn Bhd Loh Kim Fong berkata sekatan penjualan arak tidak adil kepada peniaga yang mematuhi semua garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Kami patuh kepada semua garis panduan yang dikenakan, tetapi mengapa masih keluarkan juga larangan ini.
“Kami tak jual kepada orang Islam, individu bawah 21 tahun, dan kami juga tak jual arak tiruan.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah pelanggan tetap sejak bertahun lamanya kerana mereka mempercayai kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Loh, yang juga presiden Persatuan Pengedar Ubat-ubatan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor, menambah sebelum ini tidak pernah timbul isu penjualan minuman keras sepanjang 30 tahun beliau berniaga.
Di kedainya di Taman OUG, arak dipamer dan dijual di tempat berasingan daripada minuman lain seperti yang ditetapkan dalam garis panduan DBKL.
Loh berkata beliau kini buntu bagaimana untuk menjual stok wiski, brandi dan wain di kedainya yang bernilai RM100,000 susulan larangan baharu itu.
“Sekarang kami juga tak boleh jual minuman keras campuran untuk tujuan perubatan yang sudah pasti akan menjejaskan perniagaan kami.
“Kami buntu memikirkan stok yang sedia ada. Nak jual tak boleh, pembekal pun tak mahu terima semula,” jelasnya.
Sekatan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur diperkenalkan pada 15 November tahun lalu.
Larangan penjualan minuman keras sepatutnya dimulakan pada 1 Oktober lalu, namun ditangguhkan selama sebulan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan arak di Kuala Lumpur. DBKL kemudiannya menguatkuasakan larangan bermula 1 November.
Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dilapor media berkata garis panduan yang dikeluarkan DBKL itu bertujuan untuk menghadkan orang Islam dan individu bawah 21 tahun membeli minuman keras.

Arak tiruan
Pemilik kedai ubat Cina Mega Grade Sdn Bhd Tham Yen Chen berkata beliau agak bernasib baik kerana sempat membatalkan pesanan bekalan arak sebelum DBKL menguatkuasakan peraturan penjualan minuman keras.
“Lesen Minuman Keras (LMK) saya tamat pada September dan memohon untuk memperbaharuinya. Oktober lalu DBKL hantar e-mel, memaklumkan permohonan saya diluluskan.
“Tetapi apabila saya ke pejabat DBKL untuk ambil lesen, mereka beritahu lesen saya dibekukan.
“Kemudian saya pun hubungi pembekal dan batalkan semua pesanan. Bagaimanapun, saya masih ada stok bernilai kira-kira RM40,000,” katanya.
Tham juga melahirkan rasa kecewa dengan larangan ke atas penjualan arak yang dikuatkuasakan bermula 1 November.
“Kerajaan sepatutnya bantu peniaga kecil, tetapi sekarang penjualan arak akan dimonopoli pasar raya besar.
“Larangan ini juga hanya akan menyebabkan banyak arak tiruan dijual, yang membawa kepada lebih banyak kematian akibat arak beracun terutamanya dalam kalangan pekerja asing,” katanya. – 15 November, 2021.
Komen