SEKURANG-KURANGNYA 68 banduan maut dalam pergaduhan ngeri antara geng di sebuah penjara di Ecuador, kata pegawai semalam, pertumpahan darah terbaru di penjara sama rusuhan September yang menyebabkan 119 banduan terkorban.
Banduan di penjara di Guayaquil, bandar terbesar di Ecuador dengan kira-kira 2 juta penduduk, menyerang anggota geng lawan dengan senjata api, bahan letupan dan senjata tajam, kata pihak berkuasa.
Pablo Arosemena, gabenor wilayah Guayas di mana penjara itu terletak, berkata ia tahap kekejaman yang buruk. Beliau berkata berlaku pertempuran senjata yang sengit berhampiran pintu pagar penjara.
Rusuhan bermula sekitar jam 7 malam Jumaat apabila banduan cuba memasuki Blok 2 penjara tempat musuh mereka ditahan, melepaskan tembakan, meletupkan bahan letupan dan menghayun parang, yang memaksa polis masuk.
“Ia berpunca daripada pertikaian wilayah antara kumpulan penjenayah di dalam penjara,” kata komander polis Jeneral Tannya Varela.
Kira-kira 68 banduan terbunuh dan 25 lagi cedera dalam pergaduhan itu, menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh Pejabat Pendakwaraya Ecuador di Twitter.
Campur tangan polis untuk cuba memulihkan keadaan “menyelamatkan nyawa,” kata Arosemena.
Tetapi pihak berkuasa tidak menjelaskan mengapa pergaduhan itu berlaku selama berjam-jam sebelum pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan.
Semalam anggota polis yang memakai pakaian anti rusuhan dilihat memanjat dinding penjara yang berlumuran darah, manakala mayat seorang banduan memakai pakaian penjara berwarna jingga terbaring di atas bumbung penjara yang dikelilingi kawat berduri.
Puluhan ahli keluarga berkumpul di luar pintu penjara pagi semalam, menangis dan cuba mengetahui nasib insan tersayang mereka di dalam, ketika polis dan tentera berkawal berhampiran.
“Mereka adalah manusia, bantu mereka”, tulis sepanduk yang dipegang oleh seorang ahli keluarga.
Berta Yago, 51, berkata, anak saudaranya diserang di bahagian kaki dengan parang. Sambil menangis teresak-esak, beliau berkata, “Saya ingin seseorang membantu saya mengeluarkannya” sebelum terlambat.
Presiden Guillermo Lasso menyampaikan takziah di Twitter kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Banduan di bandar Cuenca dan Latacunga enggan makan sebagai solidariti dengan banduan di Guayaquil, kata agensi yang menjalankan sistem penjara.
Lebih 300 banduan dibunuh tahun ini dalam sistem tahanan jenayah Ecuador, dengan ribuan banduan yang terikat dengan kumpulan dadah bertempur dalam pergaduhan ganas yang sering bertukar menjadi rusuhan.
Pergolakan September adalah salah satu pembunuhan beramai-ramai penjara paling buruk dalam sejarah Amerika Latin, dan keganasan maut terbaharu di Guayaquil hanya mengesahkan keadaan penjara Ecuador yang teruk. – AFP, 14 November, 2021.
Komen